UEC KE IPTA: ‘PENCEROBOHAN BERPERINGKAT’ DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN - GAMIS

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) membantah keputusan kerajaan yang membuka ruang kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dengan menyifatkan ia sebagai ‘pencerobohan berperingkat’ terhadap asas Pendidikan Kebangsaan.

Presiden GAMIS, Nik Badrain Zamery berkata, langkah tersebut bukan sekadar melibatkan peluang pendidikan tinggi, malah menyentuh soal pembinaan negara bangsa, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agenda integrasi nasional.

Menurut beliau, pendidikan merupakan instrumen strategik negara dalam membentuk identiti nasional dan menyatukan rakyat pelbagai kaum, budaya serta agama.

“Ia juga menyemai nilai kenegaraan serta membina titik persamaan antara rakyat pelbagai kaum, budaya dan agama. 

“Sebarang keputusan dasar yang melibatkan pengiktirafan terhadap sistem pendidikan di luar arus perdana kebangsaan perlu diteliti secara menyeluruh dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media.

Nik Badrain berkata, IPTA sebagai institusi pendidikan milik negara sewajarnya bergerak selari dengan aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dibina atas semangat Perlembagaan Persekutuan dan falsafah pendidikan negara.

Katanya, tindakan membuka ruang lebih luas kepada lepasan sistem pendidikan yang tidak berteraskan kerangka pendidikan kebangsaan berpotensi mengukuhkan dualisme pendidikan yang sekian lama menjadi cabaran kepada usaha pembentukan integrasi nasional.

Dalam pada itu, GAMIS turut mempersoalkan keputusan kerajaan yang dibuat ketika pelbagai isu asas pendidikan negara masih belum diselesaikan sepenuhnya.

“Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa asas terus berdepan cabaran, manakala keyakinan terhadap sistem pendidikan kebangsaan pula memerlukan pemerkasaan lebih serius, manakala jurang perpaduan masyarakat semakin membimbangkan. 

“Dalam keadaan sedemikian, langkah kerajaan ini dilihat menghantar mesej yang bercanggah dengan usaha memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan sebagai teras penyatuan rakyat Malaysia,” katanya.

GAMIS turut menegaskan kerajaan tidak seharusnya berkompromi terhadap prinsip asas pendidikan negara demi memenuhi tekanan politik atau kepentingan jangka pendek tertentu.

“Dasar pendidikan negara mesti dirangka berdasarkan kepentingan nasional, kelangsungan identiti negara dan masa depan generasi akan datang,” ujarnya.

Sehubungan itu, GAMIS menggesa kerajaan memberi penjelasan terbuka berhubung mekanisme syarat dan kriteria kemasukan lepasan UEC ke IPTA, langkah memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPT serta implikasi jangka panjang terhadap agenda perpaduan nasional.

Pada masa sama, GAMIS menyeru mahasiswa dan golongan intelektual membahaskan isu tersebut secara matang, berfakta dan berpaksikan kepentingan negara.

“Masa depan Malaysia tidak boleh dibina atas dasar kompromi terhadap asas-asas penting pembinaan negara bangsa, sebaliknya mesti diperkukuhkan melalui sistem pendidikan yang mampu menyatukan rakyat serta memelihara identiti nasional.

“GAMIS akan terus konsisten mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan, serta memastikan sistem pendidikan negara kekal menjadi instrumen utama dalam membina Malaysia berdaulat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments