DIPECAT BERSATU: “SAYA MASIH SOKONG PN KEDAH, SAYA BUKAN PEMBANGKANG” - ADUN SUNGAI TIANG

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis menegaskan beliau masih kekal sebagai wakil rakyat kawasan itu dan terus menjalankan tugas seperti biasa walaupun kini berstatus wakil rakyat Bebas.

Menurut beliau, kedudukannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah juga masih kekal setakat ini.

“Saya masih lagi ADUN Sungai Tiang dan masih Timbalan Speaker DUN Kedah. Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) juga berjalan seperti biasa kerana saya wakil rakyat Bebas dan berstatus wakil rakyat kerajaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Abdul Razak, beliau bukan berstatus pembangkang di DUN Kedah walaupun dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), kerana kekal menyokong Kerajaan Negeri dan Perikatan Nasional (PN) Kedah.

“Saya perlu jelaskan bahawa saya bukan pembangkang di DUN Kedah kerana masih menyokong Kerajaan Negeri Kedah dan PN,” katanya.

Beliau juga menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kedudukannya sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah berikutan pelantikan itu dibuat menerusi persidangan DUN.

Dalam pada itu, Abdul Razak mengakui tidak terkejut dengan tindakan pemecatan tersebut kerana sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku.

“Ini harga yang saya perlu bayar untuk perjuangan ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin BERSATU bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan salah laku kerana menyokong bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Bagaimanapun katanya, beliau sedikit terkilan kerana tidak diberi peluang menjelaskan perkara itu secara bersemuka dalam prosiding bersama lembaga disiplin parti.

“Saya hendak tahu siapa yang membuat aduan terhadap saya. Apapun saya reda dengan keputusan ini dan sedar surat tunjuk sebab yang diterima sebelum ini sekadar formaliti kerana tujuan sebenar mereka adalah mahu memecat saya,” katanya.

Tambah beliau, susulan keputusan itu statusnya kini menjadi ADUN Bebas yang menyokong PN di DUN Kedah.

Mengulas mengenai proses rayuan yang dibenarkan parti, beliau memaklumkan belum mempunyai sebarang keputusan. 

“Buat masa ini saya belum membuat keputusan untuk merayu atau tidak, saya perlu berbincang bersama rakan lain dahulu termasuk ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani,” katanya.

Pada Jumaat, BERSATU menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Post a Comment

0 Comments