DIPECAT BERSATU: DZOWAHIR AKUR, KHIDMAT SEBAGAI ADUN DITERUSKAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani menegaskan beliau akan terus menjalankan amanah kepada rakyat seperti biasa meskipun dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan itu berkata, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) akan terus beroperasi kerana beliau masih kekal sebagai ADUN Suka Menanti.

“Saya akan terus jalankan amanah sebagai ADUN kepada rakyat. Kerja berjalan seperti biasa dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat juga terus dibuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Kedudukan jawatan EXCO, saya serahkan kepada budi bicara Menteri Besar Kedah. Saya tunggu dan terima apa jua keputusan kelak,” katanya.

Dzowahir turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kedah atas kepercayaan diberikan sepanjang memegang jawatan EXCO selain bersikap adil dalam menangani kemelut berkenaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar atas kepercayaan diberikan kepada saya selama ini sepanjang memikul amanah sebagai Exco. Terima kasih juga kerana bersikap adil dalam berdepan kemelut ini,” katanya.

Menurutnya lagi,  beliau sedar isu pemecatannya itu bakal dijadikan modal politik oleh pembangkang untuk menyerang Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Negeri Kedah, terutama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.

“Namun perkara ini tidak dapat dielakkan. Saya ingin tegaskan hala tuju saya tetap sama seperti PAS, iaitu mahu majukan Kedah dan mentadbir negeri serta negara ke arah yang lebih baik.

“Antara hasrat yang saya mahu jadikan kenyataan ialah bangunkan sektor pertanian negeri termasuk menghasilkan benih padi varieti Kedah sendiri.

“Kedah sebagai jelapang padi negara sepatutnya mempunyai benih padi varieti sendiri. Projek perintis kita berjaya hasilkan 7.7 tan per hektar padi, namun proses permohonan dan prosedur agak rumit serta lambat,” katanya.

Biarpun mempunyai matlamat sama, namun katanya, pendekatan politik yang diambil kini berbeza apabila memilih saluran lain dan tidak lagi bersama BERSATU di bawah pimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dzowahir berkata, beliau menerima keputusan pemecatan daripada BERSATU dengan hati terbuka selepas menerima surat melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja parti itu kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat.

“Saya terima surat menerusi WhatsApp. Bagi saya tak apa, keputusan sudah dibuat dan saya terima,” katanya.

Dzowahir yang juga Ketua BERSATU Bahagian Alor Setar berkata, beliau tidak bercadang mengemukakan rayuan walaupun tindakan itu dibenarkan.

Mengulas punca pemecatan, beliau percaya ia mungkin berkait dengan kehadirannya ke satu perhimpunan dikenali sebagai ‘Perjumpaan Reset’.

“BERSATU ada hantar surat tunjuk sebab kepada saya dan saya sudah jawab. Surat itu bertarikh 29 April lalu. Tak sangka pula selepas seminggu beri penjelasan, saya dipecat daripada BERSATU,” katanya.

Pada Jumaat, BERSATU menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Post a Comment

0 Comments