DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI KEDAH CABAR TERESA KOK BERTANDING DI LANGKAWI

 

Oleh: Dato' Hajjah Siti Ashah Haji Ghazali

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah/Exco Kerajaan Negeri Kedah

Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah (DMPNK) menyelar kenyataan Teresa Kok yang tidak henti-henti menyerang Langkawi dengan dakwaan kononnya berlaku kemerosotan pelancong. Dakwaan tersebut jelas tidak selari dengan data rasmi daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan peningkatan konsisten jumlah pelancong ke Langkawi.

Lebih mengecewakan, Teresa Kok memetik angka keuntungan RM200 juta bagi Festival Air Rain Rave di Bukit Bintang tanpa sebarang sokongan daripada sumber rasmi atau data yang boleh dipercayai. Sikap “main sebut saja” ini menimbulkan persoalan sama ada DAP kini sudah ketandusan isu yang lebih besar untuk dibangkitkan. Adakah isu Langkawi lebih penting daripada isu mafia korporat atau cadangan Kementerian Kewangan memotong bajet untuk sektor kesihatan dan pendidikan tinggi?

Teresa Kok juga membuat kenyataan yang bercanggah hanya dalam tempoh 2 hari.

Pada 3 Mei 2026, beliau menyebut berlaku kemerosotan mendadak jumlah pelancong asing dan domestik ke Langkawi.

Tetapi pada 5 Mei 2026 beliau menyebut ada peningkatan pula. Katanya " Langkawi pula, kadar peningkatan adalah hanya 311,101 orang daripada tahun 2024 ke 2025". 

Untuk pengetahuan YB Teresa Kok, dalam Bahasa Melayu, perkataan merosot tidak sama maksudnya dengan meningkat.

DMPNK menegaskan bahawa rakyat Kedah tidak lupa pada 13 November 2025 Teresa Kok pernah menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan untuk mengambil alih pentadbiran Langkawi dengan menjadikannya Wilayah Persekutuan.

Minat beliau terhadap Langkawi kelihatan berlebihan, sedangkan tanggungjawab utama beliau adalah menyelesaikan masalah rakyat di kawasan Parlimen Seputeh.

Sehubungan itu, DMPNK mencadangkan agar Teresa Kok menumpukan perhatian kepada aduan-aduan rakyat di Seputeh. Jika beliau lebih berminat bercakap soal Langkawi, maka DMPNK mencabar Teresa Kok untuk bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-16 kelak memandangkan beliau lebih berminat dengan Langkawi berbanding Seputeh.

Post a Comment

0 Comments