Oleh: Brigedier (B) Dato' Haji Najmi Haji Ahmad
ADUN Kupang
Projek RTB ini bukanlah perkara baharu. Ia bermula susulan kejadian banjir Puing pada tahun 2022 dan telah melalui perjalanan yang panjang sejak fasa pertama lagi.
Namun sehingga hari ini, projek ini masih belum menemui titik akhir. Keadaan ini jelas menguji kesabaran penduduk yang terlibat.
Sebagai hamba Allah, kita yakin bahawa setiap ujian yang diturunkan pasti mempunyai hikmah. Namun, dalam masa yang sama, Islam juga menuntut keadilan dan tanggungjawab dilaksanakan dengan sebaiknya.
Lebih mendukacitakan, beberapa kemudahan asas seperti titi-titi di sekitar Sungai Kupang masih belum siap, malah tertangguh serta bertukar kontraktor. Setiap kali isu ini dibangkitkan, pelbagai penjelasan diberikan, namun penyelesaian yang diharapkan masih belum menjadi kenyataan.
Hakikat yang perlu difahami bersama ialah tiada peruntukan daripada kerajaan pusat yang disalurkan kepada pejabat tanah bagi pelaksanaan projek RTB ini. Dalam kekangan tersebut, kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah lebih proaktif demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, selari dengan tuntutan Islam yang menekankan amanah terhadap rakyat.
Antara ikhtiar yang dicadangkan termasuklah perpindahan ke premis kedai sedia ada milik MDB atau mengenal pasti tanah kerajaan yang bersesuaian sebagai penempatan sementara.
Dalam masa yang sama, keutamaan akan diberikan kepada penduduk terlibat untuk memohon Rumah Mesra Rakyat atau rumah PPRT sebagai penyelesaian jangka panjang. Langkah ini bukan dibuat dengan mudah, tetapi lahir daripada pengalaman dan keperitan yang telah dilalui oleh penduduk sebelum ini masa fasa 1 .
Berkali-kali permohonan penangguhan dikemukakan, namun akhirnya pihak kontraktor daripada kerajaan pusat tetap meneruskan tindakan tanpa banyak ruang pertimbangan.
Dalam situasi yang serba mencabar ini, mungkin pilihan yang ada tidak sempurna. Namun sebagai orang beriman, kita dituntut untuk bersabar dan berusaha. Firman Allah SWT:“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah: 153)
Bagi pihak PKWR DUN Kupang, sejak dari awal perjumpaan lagi saya telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap penduduk benar-benar memahami situasi yang kita hadapi hari ini serta mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.
Saya faham… ujian ini berat. Ia menguji kesabaran, menimbulkan keresahan, malah ada yang merasa seolah-olah tiada kepastian. Namun hakikat yang tidak dapat kita nafikan, walau ditangguh setahun sekalipun, perpindahan tetap perlu dilakukan.Ini bukan keputusan yang ringan. Ini bukan sesuatu yang kita minta.
Tetapi ini adalah satu pengorbanan yang terpaksa kita lalui demi maslahah yang lebih besar , demi menjaga nyawa, harta dan kesejahteraan masyarakat, sebagaimana dituntut dalam maqasid syariah.
Projek RTB ini bukan sekadar projek pembangunan. Ia adalah satu usaha ikhtiar untuk mengelakkan mudarat yang berulang. Agar banjir tidak lagi menghantui kehidupan kita, agar anak-anak kita tidak lagi hidup dalam ketakutan setiap kali hujan turun, dan agar masa depan Kupang dan Baling lebih selamat serta diberkati.
Saya tahu, meninggalkan tempat yang penuh kenangan itu sangat berat. Namun percayalah, setiap pengorbanan yang dilakukan dengan sabar dan reda, insya-Allah akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik di sisi Allah.
Kepada pihak kerajaan pusat dan kontraktor, laksanakanlah amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Dalam Islam, setiap amanah akan dipersoalkan. Janganlah bersikap tidak amanah terhadap kesengsaraan yang ditanggung penduduk.
Ini bukan sekadar soal projek dan pembangunan, tetapi melibatkan emosi, jiwa dan kenangan manusia. Dengarlah rintihan mereka, fahamilah kesusahan mereka, dan bertindaklah dengan ihsan serta keadilan.

0 Comments