Oleh: Roslinda Hashim
LANGKAWI - Kemasukan pelabur hartanah dan hospitaliti bertaraf dunia ke pulau Langkawi menjadi bukti kukuh bahawa pulau lagenda berada di landasan pembangunan yang stabil, sekali gus menolak dakwaan kononnya pentadbiran negeri gagal.
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Alif Bakar berkata, kestabilan geopolitik di bawah kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berjaya meningkatkan keyakinan pelabur global untuk bertapak di Langkawi.
“Kehadiran pelabur utama membuktikan polisi Kedah adalah mesra pelabur dan berwawasan tinggi,” katanya.
Menurutnya, antara pelaburan berimpak tinggi di Langkawi termasuk projek Tropicana Cenang oleh Tropicana Corporation Berhad merangkumi pembangunan kediaman servis dan hotel bertaraf bintang, selain bakal menjadi bangunan penginapan tertinggi di negeri ini.
“Selain itu, kemasukan jenama antarabangsa seperti Hilton (The Waldorf Astoria) dan Mandarin Oriental di Pantai Tanjung Rhu membangunkan penginapan mewah membuktikan Langkawi setaraf dengan destinasi elit dunia.
“IOI Properties Group juga merancang pembangunan hotel mewah di Pantai Kok di bawah jenama W milik Marriott International,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau tegaskan, kehadiran pemaju ‘pencakar langit’ itu tidak mungkin berlaku tanpa kestabilan politik serta hala tuju pembangunan yang jelas oleh Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Alif memaklumkan, rekod pencapaian MPLBP turut membuktikan tadbir urus yang progresif dan berkesan.
“Langkawi menerima Anugerah Pengiktirafan Berlian Bandar Rendah Karbon 2024 bagi Pusat Bandar Kuah, membuktikan pembangunan moden tetap mengutamakan kelestarian.
“Pengiktirafan sebagai Smart City Early Adopter 2024 menunjukkan Langkawi sedang ditransformasikan secara digital untuk kemudahan pelancong dan pelabur.
“Lebih membanggakan, Langkawi turut dinobatkan sebagai pulau kedua tercantik di Asia oleh Conde Nast Traveler Readers’ Choice Awards 2025 dengan skor 92.99, mengatasi destinasi popular seperti Bali dan Phuket,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, dakwaan kegagalan tadbir urus adalah tidak berasas dan dinafikan berdasarkan fakta pencapaian MPLBP.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, namun ia perlu berasaskan rasa hormat terhadap bidang kuasa negeri.
“Pembangunan mega daripada sektor swasta sudah ada, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menyokong usaha menaik taraf infrastruktur asas seperti bekalan air dan jeti secara lebih agresif tanpa tekanan politik,” katanya.
Alif berkata, barisan Ahli Majlis MPLBP berdiri teguh menyokong kepimpinan Muhammad Sanusi dalam memastikan pembangunan Langkawi terus mampan dan berdaulat.
“Kemasukan pelabur besar dan pengiktirafan antarabangsa adalah bukti nyata Langkawi tidak memerlukan transformasi berani yang bersifat kosmetik, sebaliknya kita sudah berada di landasan transformasi yang substantif dan berdaulat,” katanya.
Mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong yang menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah sebagai ‘retorik emosi’, Alif berkata, tuduhan itu tersasar daripada isu sebenar.
“Ia cubaan untuk alih perhatian daripada isu sebenar, iaitu kedaulatan wilayah dan hak perlembagaan negeri ini.
“Ungkapan ‘langkah mayat’ diucapkan Menteri Besar Kedah adalah manifestasi ketegasan Kerajaan Negeri mempertahankan hak rakyat Kedah daripada sebarang cubaan campur tangan yang membelakangkan semangat federalisme,” ujarnya.

0 Comments