“PN MAKIN KUKUH DARI HARI KE HARI, BUKAN SEKADAR SLOGAN POLITIK” - WONG CHIA ZHEN

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) terus memperkukuhkan kedudukannya melalui gerak kerja konsisten, semangat kerja berpasukan serta disiplin organisasi, bukan sekadar slogan politik.

Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Wong Chia Zhen berkata, kekuatan PN juga terletak pada keikhlasan pimpinan dan akar umbi dalam memperjuangkan aspirasi rakyat selain 
kesediaan mendengar suara rakyat.

Menurut Pengerusi Gerakan Kedah itu, gabungan dalam PN mampu menjadi lebih kukuh dari hari ke hari walaupun dibina daripada pelbagai kekuatan politik.

“Perikatan Nasional terus bangkit bukan kerana slogan, ia bukan bersifat sementara, tetapi satu proses berterusan untuk membina keyakinan rakyat secara konsisten dan berprinsip. Di setiap langkah, kita bergerak sebagai satu pasukan.

“Apa yang perlu diperbaiki, kita perbaiki. Apa yang perlu diperkukuh, kita kuatkan. Suara akar umbi bukan sekadar didengar, tetapi diterjemahkan kepada tindakan nyata,” katanya.

Beliau berkata, GERAKAN Kedah juga sentiasa memperkukuhkan organisasi menerusi penganjuran kursus dalaman bagi mengeratkan hubungan kalangan pimpinan parti.

Katanya, program tersebut turut menjadi platform penting untuk pertukaran pandangan secara mendalam melibatkan pimpinan Pusat, negeri serta akar umbi bagi membincangkan hala tuju masa depan serta cabaran politik semasa.

“Pimpinan Pusat dan negeri berkongsi pengalaman dan pemerhatian di peringkat akar umbi serta analisis situasi politik semasa, dalam memperkasakan gerak kerja mendekati rakyat.

“Pada masa sama, pemimpin utama negeri juga aktif membawa suara akar umbi supaya Jawatankuasa Pusat parti dapat mendengar idea dan maklum balas daripada peringkat bawahan secara langsung,” ujarnya.

Tambah Chia Zhen, sesebuah parti politik bukan sahaja memerlukan perjuangan dan konsep yang jelas untuk terus bergerak ke hadapan, malah perlu memiliki organisasi tersusun, pelaksanaan berkesan serta persefahaman erat antara kepimpinan.

Katanya, latihan dan komunikasi berterusan bukan sekadar meningkatkan kemampuan ahli parti, malah lebih penting untuk membentuk hala tuju serta matlamat bersama.

“GERAKAN akan terus menjunjung semangat ‘satu hati’, bergerak ke hadapan selain kukuhkan pasukan untuk melahirkan lebih ramai generasi baharu yang sanggup turun ke akar umbi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments