“TERIMA KASIH PM, HARAP LANGKAWI KEMBALI RANCAK” - SANUSI

 


Oleh: Roslinda Hashim

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap isu yang membelenggu Langkawi, khususnya usaha merancakkan semula sektor pelancongan pulau berkenaan.

Beliau bagaimanapun berharap komitmen yang dinyatakan itu dilaksanakan secara ikhlas dan bukan sekadar kenyataan politik.

“Terima kasih PM. Saya harap beliau ikhlas dalam perkara ini. Beliau sendiri sudah beberapa kali ke Langkawi, jadi tentu memahami keadaan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan di sini, hari ini.

Menurut Sanusi, antara perkara yang dibangkitkan kepada Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini ialah isu kos operasi feri ke Langkawi yang tinggi.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan disaran memberikan subsidi minyak kepada pengusaha feri kerana kos bahan api bagi laluan ke Langkawi jauh lebih mahal berbanding destinasi lain seperti Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.

“Saya harap apa yang dibangkitkan itu diberi pertimbangan, termasuk kembalikan status pulau bebas cukai sepenuhnya kepada Langkawi. Ada banyak sektor lain yang boleh dibantu dengan kemasukan ramai pelancong ke Langkawi,” katanya.

Menurut Sanusi, industri pelancongan Langkawi masih belum pulih sepenuhnya dan berada dalam keadaan malap, sekali gus memerlukan suntikan baharu untuk kembali rancak.

“Industri pelancongan di Langkawi belum ke tahap gulung tikar, cuma malap. Kita mahu tambah lagi dua juta pelancong pada tahun 2025 meningkat kepada empat juta pada tahun ini.

“Untuk capai sasaran itu, Langkawi perlu ada tarikan tersendiri, iaitu bebas cukai sepenuhnya, diharap pelancongan Langkawi kembali rancak,” ujarnya.

Jelas beliau, antara strategi utama ialah memperkukuh status bebas cukai dengan menambah lebih banyak item serta mengembalikan beberapa pengecualian sebelum ini, termasuk melibatkan kenderaan mewah.

“Tarikan bebas cukai ini bukan sekadar untuk membeli-belah, tetapi mendorong perbelanjaan dalam sektor lain seperti melawat ke tempat menarik, penginapan dan makanan. Ini menyumbang kepada sektor ekonomi lain secara tidak langsung,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan mempermudahkan segala urusan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), namun keputusan berkaitan cukai terletak sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Kalau boleh, lebih banyak pengecualian cukai diberi. Ini bukan hanya untuk rakyat Kedah, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang datang ke Langkawi.

“Apabila orang tak boleh melancong ke luar negara, tentulah pilihan nombor satu domestik ialah Langkawi. Bila ada tarikan tersendiri, tentu orang datang. Jika semua barang tak kena cukai pun bagus,” katanya.


Sanusi percaya isu penyeludupan dapat ditangani oleh pihak berkuasa sekiranya pulau lagenda kembali kepada status bebas cukai sepenuhnya.

“Tuanku Sultan titah kembalikan kepada cadangan asal ketika diumumkan pulau bebas cukai pada 1987. Ditarik balik keistimewaan itu kerana bimbang penyeludupan, saya yakin bab ini pihak Kastam boleh urus. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar, kelak kita yang rugi,” katanya.

Pada Jumaat, Anwar menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mencadangkan agar status Langkawi sebagai zon bebas cukai sepenuhnya dikembalikan.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan bersedia memberi perhatian sewajarnya bagi merancakkan semula sektor pelancongan di pulau legenda itu yang kini dilihat agak malap.

Anwar memaklumkan, telah mengarahkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjalankan penelitian menyeluruh bagi mengenal pasti langkah terbaik untuk menjana semula ekonomi pulau tersebut.

Sebelum ini, Sultan Kedah dalam titah perasmian sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah menitahkan agar kerajaan mempertimbangkan semula status bebas cukai penuh di Langkawi.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap pengurangan beberapa keistimewaan Langkawi yang menjejaskan daya tarikan pelancongan, selain menekankan keperluan penambahbaikan infrastruktur, aksesibiliti serta kemudahan jeti di pulau itu.


Post a Comment

0 Comments