ANAK KEDAH DI PERANTAUAN DIMINTA SUMBANG KEPAKARAN JAYAKAN ‘THE GREATER KEDAH’

 

 Oleh: Roslinda Hashim 

SHAH ALAM - ‘The Greater Kedah’ merupakan tagline serta gagasan besar negeri dalam usaha mencapai kedudukan lebih baik menjelang tahun 2050.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gagasan itu memerlukan sokongan berterusan khususnya daripada anak Kedah di perantauan bagi membantu merealisasikan agenda pembangunan negeri.

“Diharapkan anak-anak Kedah di perantauan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri dan bersama membantu membina agenda ‘The Greater Kedah’ melalui sumbangan tenaga, idea dan kepakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan di sini, hari ini.

Tambah beliau, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah berperanan menyebarluaskan naratif positif mengenai Kedah serta mengekalkan keunikan warisan negeri.

Dalam pada itu, Sanusi menasihatkan anak Kedah di perantauan agar mendapatkan maklumat tepat berkaitan negeri melalui saluran rasmi seperti Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA), TV Kedah serta media sosial wakil rakyat, bagi mengelakkan kekeliruan akibat maklumat tidak sahih.

“Kita tidak mahu anak Kedah keliru dengan cerita yang dipusing-pusing. Rujuk terus kepada saluran rasmi untuk dapatkan maklumat tepat,” katanya.

Menurutnya, antara isu yang sering diputar belit pihak tertentu ialah masalah bekalan air yang dijadikan kempen politik bagi mencalarkan imej negeri.

“Kedah berdepan masalah kemarau dan gangguan air, namun ia hanya melibatkan kurang 1 peratus daripada kira-kira 640,000 akaun di seluruh negeri.

“Walaupun kecil, ada pihak yang membesar-besarkan isu seolah-olah seluruh Kedah tiada air. Kita tetap hantar bantuan lori air bagi membantu kawasan terjejas, tetapi mereka buat cerita macam-macam,” jelasnya.

Sanusi turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai kunci utama mengubah masa depan anak Kedah, selain menyeru agar golongan berkemampuan membantu anak-anak kurang berkemampuan melanjutkan pengajian.

“Saya tak sanggup dengar ada anak Kedah yang cemerlang dalam peperiksaan, tapi terpaksa memasuki alam pekerjaan kerana tak ada duit untuk menyambung pengajian. Hal ini tidak patut berlaku.

“Kalau ada maklumat tentang anak-anak kedah yang mengalami nasib seperti ini, berhubung dengan saya dan wakil rakyat untuk kita bantu.

“Semua anak Kedah yang cemerlang dalam pendidikan, wajib diberi peluang dan dibantu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sanusi memaklumkan, majlis anjuran Pertubuhan Himpunan Anak Kedah Darul Aman di Perantauan (HANDAL) yang ditubuhkan pada 2024, merupakan platform menghimpunkan anak Kedah di perantauan daripada pelbagai latar belakang.

“HANDAL berperanan sebagai pusat sehenti maklumat Kerajaan Negeri, platform jaringan profesional dan usahawan, selain menjadi medium aktiviti kebajikan serta sokongan kepada agenda ‘The Greater Kedah’,” ujarnya.

Selain itu, katanya, HANDAL turut dilantik sebagai ejen kutipan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), sebagai langkah strategik memperluaskan peranan anak Kedah dalam pembangunan ummah.

“Kutipan LZNK pada 2025 mencecah RM308 juta, manakala agihan pula sekitar RM400 juta bagi membantu golongan asnaf dan miskin. Kita akan tingkatkan lagi agihan zakat, bayarlah zakat secara terus, online atau melalui HANDAL di Kuala Lumpur,” katanya.

Post a Comment

0 Comments