Oleh: Roslinda Hashim
SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengalu-alukan mana-mana individu termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) untuk bertanding di negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, Kedah merupakan medan terbuka dalam sistem demokrasi dan sesiapa sahaja bebas mencuba nasib.
“Ini negara demokrasi, siapa pun boleh bertanding di mana-mana. Kedah ‘open field’, bebas untuk semua. Marilah, tak ada masalah.
“Siapa-siapa pun boleh datang ke Kedah, marilah bertanding. Kita tengok orang Kedah nak kata apa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan Khairy bakal diletakkan sebagai calon pilihan raya umum (PRU) di Kedah, Sanusi berkata, ia terpulang kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu, malah menyifatkan Khairy tidak asing dengan budaya negeri Kedah.
“Mak dia orang Kedah, dia faham budaya orang Kedah. Terpulang,” ujar Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Safwan Jaafar dilaporkan mencadangkan Barisan Nasional (BN) menampilkan figura seperti Khairy bagi memacu semula kebangkitan politik di negeri itu.
Menurutnya, ideologi serta pemikiran bekas Menteri Kesihatan itu berupaya merangsang perubahan dalam cara fikir rakyat Kedah.
Pada 11 April, penganalisis politik dari Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan UMNO Kedah tidak boleh hanya bergantung kepada slogan bertanding solo untuk memulihkan sokongan, sebaliknya perlu mengetengahkan calon yang mampu menyaingi populariti Sanusi.
Katanya, Sanusi ketika ini mempunyai kelebihan dari segi visibiliti dan naratif kepimpinan di negeri tersebut.

0 Comments