PAS JANGAN BUANG MASA LAYAN KERENAH BERSATU, TINGGALKAN SAJA!

 

Oleh: Muhammad Tajri

PAS nampaknya berhati-hati dalam memutuskan untuk berpisah dengan Bersatu. Sangat jelas, terang dan nyata bahawa PAS akan berpisah dengan Bersatu setelah parti itu kini menjadi liability kepada Perikatan Nasional (PN). Cuma bagi PAS, cara untuk “memberitahu” hal tersebut kepada rakyat jelata kenalah cermat kerana pihak lawan siap membina persepsi bahawa semua gabungan yang bersama PAS tidak kekal. Antaranya Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Gagasan Sejahtera dan Muafakat Nasional.

Rasanya PAS tidak perlu takut dengan pembinaan persepsi tersebut kerana gabungan parti politik bukan agama yang tidak boleh dibubarkan. Kalau ia merugikan perjuangan serta boleh melemahkan PAS serta membantutkan agenda kepentingan rakyat; baik saja bubarkan.

PKR pun tidak kekal dalam gabungan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. DAP juga tidak kekal dalam Gagasan Rakyat (tiada PAS di dalamnya), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. BN juga tidak kekal dalam Muafakat Nasional dan selepas ini akan berpisah juga (sementara) dengan PH dalam PRN Johor.

Di Semenanjung Malaysia, hanya dua parti yang ada kekuatan sehingga di akar umbi iaitu PAS dan UMNO. Parti-parti lain semua bertaraf parti nyamuk. Cumanya ada nyamuk besar sedikit dan ada nyamuk yang sukar untuk dilihat. Bersatu, Pejuang, Amanah, Berjasa, Putra, geng Reset, Gerakan, Bersama.. sama sahaja level mereka; parti nyamuk yang tiada kekuatan akar umbi. PKR dan DAP adalah nyamuk yang agak besar, itu pun tertumpu pada tempat dan negeri tertentu. Kalau di Kedah, PKR dan DAP sama saja level dengan parti-parti nyamuk lain.

Semua parti-parti nyamuk ini jadi kuat bila mereka menyertai gabungan. Petunjuk jika mereka bertanding sendirian boleh dilihat pada parti Pejuang yang bertanding solo PRU15 lalu. Calon-calon hilang deposit. Begitulah kalau Bersatu atau geng Reset bertanding solo, memang dijamin hilang deposit.

Bersatu bukan parti yang layak dipercayai oleh PAS. Mula penggal, 6 MP dah lompat parti. Sekarang Bersatu lagilah lemah apabila sebahagian besar ahli-ahli Parlimennya dipecat atau digantung. PAS tidak perlu menyeksa diri untuk bersama dengan puak yang lemah dan bermasalah hanya untuk memberitahu rakyat ‘kami PN ok jee’. Tak perlu berpura-pura. Tan Sri Muhyiddin Yasin ada kes mahkamah, menantunya juga keluar negeri tak balik-balik. Imej ‘bersih’ yang dilaungkan PN dalam PRU15 lalu sudah musnah. Tidak perlulah PAS nak menanggung biawak hidup. Jika Bersatu enggan keluar dari PN, biarkan saja PN jadi dormant. Siapa pun tak boleh guna PN. 

PAS boleh wujudkan gabungan baru dengan Pejuang, Berjasa, Putra, Gerakan, Muda dan geng Reset. Kalau Bersama hendak bersama boleh dirundingkan untuk pastikan berlaku 1 lawan satu 1 dengan BNPH dalam PRU. Cuma Bersama jangan dimasukkan dalam gabungan Baharu. Rafizi nampak macam sukar dikawal.

Bersatu boleh mohon sertai PH. Tapi pasti ia tidak diterima oleh PH. Biarkan dia fikir nasibnya sendiri. PAS jangan takut terima kecaman Bersatu kalau tinggalkan parti nyamuk itu. Sekarang pun siang malam mereka serang PAS. Lebih banyak serang PAS dari serang BNPH. Jadi, abaikan saja Bersatu. Usah dilayan.

Gabungan Baharu kena dirancang dan dibuat segera. Pilihanraya umum Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan mungkin Perlis sangat hampir. Kalau masih fikir nak layan Bersatu, buang masa! Dalam politik buat kerja kena pantas.

Semoga keputusan PAS berpisah dengan Bersatu dapat diumum dengan segera. Seluruh ahli-ahli PAS dan majoriti rakyat Malaysia tertunggu-tunggu keputusan penting untuk masa depan Malaysia tersebut.

Post a Comment

0 Comments