Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk menggunakan alasan ‘darurat’ bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya ia wajar diteruskan sekiranya sudah tamat penggal.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, pelaksanaan pilihan raya bukan satu isu besar dan tidak wajar dijadikan alasan untuk mengisytiharkan darurat.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, kemungkinan alasan ‘darurat’ digunakan oleh segelintir pihak bagi mengelak PRN diadakan susulan gentar untuk berhadapan dengan pilihan raya pada ketika ini.
“Saya rasa mengadakan pilihan raya bukanlah satu isu besar, tak payahlah sampai darurat.
“Buatlah pilihan raya kerana saya yakin dalam pilihan raya akan datang, rakyat akan menolak DAP, sebab itu dia cadang macam itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP negeri itu supaya kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat.
Cadangan tersebut dikemukakan bagi menangguhkan PRN susulan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat akibat krisis bahan api.
Dalam pada itu, Sanusi berpandangan, PRN wajar diadakan segera bagi memberi peluang kepada perubahan landskap politik negara.
“Buatlah pilihan raya sekarang, kita nak bagi negara ini berubah landskapnya, kalahkan DAP, insya-ALLAH,” ujarnya.
Selain Poay Tiong, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, turut memaklumkan akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan Melaka, ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijangka diadakan di Melaka.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka tamat penggal pada 30 Disember 2026. Terdahulu, PRN Melaka telah diadakan pada 20 November 2021 sejurus pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober 2021.
DUN Johor dijangka tamat penggal pada 21 April 2027. PRN Johor telah diadakan pada 12 Mac 2022 susulan pembubaran DUN Johor pada 22 Januari 2022.

0 Comments