Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pemerhati politik, Isham Jalil berjanji akan menyalurkan sehingga RM40 juta kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) bagi tujuan kempen pilihan raya sekiranya beliau berjaya memenangi saman fitnah terhadap beberapa individu.
Menurut bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, jumlah tersebut dianggarkan mampu membantu kira-kira 40 kawasan pilihan raya PAS.
“Duit menang saman ini akan saya gunakan untuk bantu kempen pilihan raya PAS dan PN. RM40 juta ini mungkin cukup untuk membantu 40 kawasan.
“Bagus juga orang fitnah saya sebab bolehlah kita guna duit menang ini nanti ke jalan yang baik untuk meletakkan PAS ke Putrajaya,” katanya, menerusi kenyataan di media sosial miliknya.
Isham memaklumkan, beliau akan mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) kepada beberapa individu pada minggu ini, melibatkan tuntutan RM10 juta bagi setiap saman kerana telah memfitnah dirinya dengan cerita tidak betul serta berniat jahat.
Katanya, individu terlibat terdiri daripada dua orang dari Pakatan Harapan (PH) serta dua lagi dari UMDAP, termasuk individu yang digelarnya sebagai ‘budak misai tak bersambung’.
“Mereka telah menghasilkan banyak video fitnah terhadap saya baru-baru ini. Ia bukan sahaja berkenaan isu dasar seperti isu minyak ke Filipina, namun yang lebih teruk adalah fitnah dan rekacerita untuk memburuk-burukkan saya secara peribadi dan merendahkan kredibiliti serta reputasi saya secara penipuan, untuk kepentingan politik mereka atau kepentingan tangan-tangan ghaib di belakang mereka,” katanya.
Tambah beliau, tindakan undang-undang itu juga bertujuan memberi pengajaran kepada pihak yang didakwa menyebarkan fitnah, selain membuka ruang kepada pembangkang memperoleh dana sekiranya pampasan berjaya diperoleh.
“Saya yakin akan menang saman ini sebab sebelum ini saya tidak pernah kalah dalam kes saman fitnah. Semua tuduhan yang dibuat pula ternyata fitnah dan kami mempunyai rakaman video mereka sebagai bukti,” ujarnya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan lanjut termasuk mendapatkan perintah mahkamah untuk menyita harta atau akaun pihak terlibat sekiranya gagal membayar pampasan.
“Kepada pihak-pihak yang fitnah saya, kamu tak cerdik dan tidak fikir panjang. Oleh itu, hadaplah kifarah dan bayar. Saya ucap terima kasih awal-awal atas RM40 juta itu. Lain kali beringat sikit jangan suka fitnah orang.
“Biasanya saya terima permohonan maaf jika orang yang memfitnah saya itu bertaubat. Kali ini pilihan raya sudah dekat, elok juga mereka bayar supaya pembangkang dapat sumbangan dana untuk digunakan pada kempen pilihan raya nanti,” katanya.
Menurut Isham, peguam beliau kini sedang mengumpul maklumat lengkap individu terbabit bagi tujuan penghantaran saman dalam masa terdekat.

0 Comments