Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mohon agar insentif fiskal sebanyak RM200 juta setahun dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pampasan mengekalkan kawasan jelapang padi dan hutan tadahan air.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, permohonan itu dibuat berikutan pengorbanan negeri ini yang mengekalkan kawasan pertanian padi dan hutan simpan, sekali gus mengehadkan potensi hasil negeri.
“Ini bukan duit percuma. Jika kawasan ini dibangunkan, keluasan sawah akan berkurang, hasil padi terjejas dan bekalan beras negara turut terkesan. Kita kekalkan demi keselamatan makanan negara supaya tidak bergantung kepada import,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah memohon insentif fiskal ini sejak sekian lama, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.
“Kedah ketika ini membekalkan kira-kira 43 peratus keperluan beras negara, namun keupayaan negeri ini terhad kerana Kedah bukan dalam kategori negeri kaya.
“Harap pertimbangkan insentif RM200 juta ini, bila dapat tak tahulah. Kita menjaga kebajikan pesawah yang ramai, tetapi industri ini tidak menjanjikan pulangan besar,” ujarnya.
Sebelum itu dalam sesi penggulungan Sanusi memaklumkan, permohonan rasmi insentif fiskal sebanyak RM200 juta setahun telah dikemukakan kepada Perdana Menteri pada 11 Mei 2023, namun sehingga kini masih belum mendapat pertimbangan muktamad.
“Meskipun ada beberapa siri pembentangan dan perbincangan susulan, Kerajaan Persekutuan masih belum pertimbangkan permohonan ini.
“Selaras dengan Titah Sultan Kedah, wajar untuk Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri. Kita akan terus bersuara kerana pengorbanan ini hanya akan berbaloi dengan bayaran insentif fiskal yang setimpal,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Kedah menerima peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) dari Kerajaan Persekutuan, yang dibayar mengikut keluasan hutan negeri daripada RM50 juta, jumlah itu masih tidak setimpal dengan pengorbanan memelihara kawasan tadahan air yang turut memberi manfaat kepada Pulau Pinang dan Perlis.
“Permohonan itu juga berlandaskan keputusan Jemaah Menteri pada 7 Mei 2003 yang antaranya meminta Kedah menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air Empangan Muda serta mengkaji bayaran pampasan kepada Kerajaan Negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Sanusi berkata, Perdana Menteri pada 6 September 2025 telah bersetuju membenarkan pembangunan sebahagian kawasan jelapang padi, khususnya di Alor Setar bagi merangsang ekonomi negeri.
“Kawasan jelapang yang boleh dibangunkan adalah kawasan tanaman padi yang dizonkan sebagai kawasan pembangunan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Yan berkeluasan 10,677.97 hektar serta kawasan tanaman padi lain yang berpotensi untuk pembangunan berkeluasan 4,995.48 hektar,” ujarnya.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap memilih untuk mengekalkan sebahagian besar kawasan tersebut bagi tujuan pertanian walaupun berpotensi menjana hasil tinggi.
“Daripada kira-kira 222,000 hektar tanah bersyarat padi, sekitar 140,000 hektar ditanam padi , namun kutipan cukai tanah bagi tanah pertanian murah, iaitu RM2.5 juta sahaja.
“Jika ditukar kepada status komersial, hasil boleh mencecah sehingga RM1.7 bilion, tetapi kita tidak lakukan kerana keutamaan adalah jaminan bekalan makanan negara,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga terpaksa mengekalkan kira-kira 8,694 hektar kawasan jelapang yang bertindih dengan Projek Penanaman Padi Lima Kali Dalam Tempoh Dua Tahun bernilai RM5 bilion bagi memastikan kesinambungan pengeluaran padi.
Dalam masa sama, Kedah turut menanggung tanggungjawab besar memelihara kawasan hutan tadahan air meliputi kira-kira 341,976 hektar atau 36 peratus keluasan negeri.
“Empat kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Pedu, Bukit Keramat dan Terenas menjadi sumber air kepada Empangan Muda, Pedu, Ahning dan Beris yang membekalkan air ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya.
Justeru, Sanusi menegaskan insentif fiskal yang dipohon adalah bagi menampung kehilangan hasil negeri, berbeza dengan peruntukan disalurkan kepada agensi Persekutuan yang tertumpu kepada infrastruktur dan bantuan pesawah.
“Jika disalurkan, insentif ini akan dimanfaatkan terus kepada rakyat melalui program kebajikan, bantuan bencana, baik pulih rumah dan pembangunan infrastruktur asas,” katanya.

0 Comments