STATUS BEBAS CUKAI LANGKAWI JANGAN DIGANGGU, NADI EKONOMI RAKYAT TERANCAM

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Melemahkan status bebas cukai Langkawi bererti menjejaskan sumber pendapatan utama rakyat di pulau pelancongan itu, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud.

Beliau berkata, status bebas cukai bukan sekadar jenama pelancongan, sebaliknya menjadi nadi ekonomi yang menggerakkan keseluruhan ekosistem setempat.

“Apabila pelancong datang membeli-belah, hotel penuh, restoran beroperasi rancak, perkhidmatan e-hailing bergerak, bot pelancong berfungsi, peniaga kecil berniaga dan pekerja memperoleh pendapatan.

“Jika kelebihan ini dilemahkan, kesannya bukan kecil, sebaliknya menjejaskan periuk nasi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, Amar Pared berkata, banyak destinasi dunia membuktikan kekuatan insentif ekonomi sebagai pemangkin pelancongan dan pelaburan.

“Dubai membina ekonomi global melalui dasar mesra cukai dan pelaburan, Hong Kong muncul sebagai destinasi beli-belah antarabangsa, manakala Jeju Island diperkasa dengan insentif pelancongan serta akses yang cekap.

“Jika tempat lain memahami kepentingan insentif ekonomi, mengapa Langkawi yang telah lama menyumbang kepada negara seolah-olah dibiarkan kehilangan kelebihannya sedikit demi sedikit?” katanya.

Dalam pada itu, beliau tegaskan, Langkawi perlu diletakkan di barisan hadapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana pulau itu memiliki kelebihan lengkap sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Langkawi ada pantai indah, geopark bertaraf dunia, budaya unik, rakyat mesra serta nama yang sudah dikenali. Namun keindahan sahaja tidak mencukupi jika akses menyukarkan, promosi lemah dan dasar ekonomi tidak membantu.

“Langkawi ialah permata Kedah, wajah pelancongan Malaysia dan dikenali di serata dunia. Namun rakyat masih tertanya-tanya mengapa pulau yang mengangkat nama Malaysia masih dibelenggu isu sama, tahun demi tahun?” 

“Jika Langkawi dipandang enteng hari ini, negara akan membayar harganya esok,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa agar titah Sultan Kedah berkaitan Langkawi tidak dijadikan sekadar rekod, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan segera.

“Apabila Tuanku menyentuh soal infrastruktur, jeti, feri, status bebas cukai dan hubungan antara kerajaan, itu adalah isyarat jelas bahawa tindakan mesti diambil sekarang.

“Titah tidak boleh sekadar menjadi catatan dalam hansard, tetapi perlu diterjemah kepada hasil,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pengangkutan feri yang masih menjadi masalah utama di Langkawi sehingga boleh menjejaskan keyakinan pelancong.

“Jadual tidak menentu, kekerapan tidak mencukupi, terminal perlu dinaik taraf dan kos perjalanan memberi tekanan kepada pengguna.

“Bayangkan pelajar yang perlu ke tanah besar untuk pengajian tetapi terpaksa menunggu, pesakit yang memerlukan rawatan susulan, serta peniaga kecil yang kehilangan pelanggan akibat pelancong membatalkan perjalanan.

“Bagi sesetengah pihak ini hanya statistik, tetapi bagi rakyat Langkawi, inilah realiti kehidupan mereka,” katanya.

Post a Comment

0 Comments