KOS PADI, NASIB PESAWAH PERLU TINDAKAN SEGERA KERAJAAN PERSEKUTUAN


Oleh: Amal Nabila

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera berhubung peningkatan kos pengeluaran padi yang didakwa semakin membebankan pesawah di negeri ini. 

Menurut beliau, kenaikan harga diesel serta peningkatan kos input pertanian telah memberi kesan besar kepada pesawah. 

“Pesawah kini menanggung beban yang sangat tinggi apabila kos diesel meningkat, termasuk kos jentera, upah, baja dan racun. Situasi ini menyebabkan keuntungan semakin mengecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini. 

Beliau turut mendakwa sektor padi tidak wajar dipinggirkan kerana ia melibatkan keselamatan makanan negara serta keterjaminan bekalan makanan ruji rakyat. 

“Jika pesawah terus tertekan, ia boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan negara. Ini bukan sekadar isu pertanian, tetapi isu keselamatan negara,” katanya. 

Dalam masa sama, Rashidi turut mencadangkan beberapa langkah termasuk memasukkan jentera sawah padi ke dalam mekanisme subsidi diesel.

Beliau turut menegaskan bahawa negeri Kedah telah lama berkorban sebagai negeri jelapang padi negara dengan mengekalkan kawasan sawah yang luas bagi menjamin bekalan makanan negara. 

“Kedah bukan hanya menanam padi untuk negeri sendiri, tetapi untuk Malaysia. Pengorbanan ini wajar dihargai dengan dasar yang adil dan peruntukan yang setimpal,” tegas beliau.

 

Post a Comment

0 Comments