Oleh: Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah berjaya sifarkan kadar miskin tegar sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam meningkatkan kebajikan rakyat melalui pelbagai pendekatan pembasmian kemiskinan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pelbagai program telah dirangka dan dilaksanakan setiap tahun dengan kerjasama agensi Persekutuan dan negeri seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurut beliau, pendekatan yang dilaksanakan merangkumi bantuan kebajikan hingga kepada pemerkasaan ekonomi rakyat.
“Berdasarkan statistik e-Kasih setakat ini, kategori miskin tegar di Kedah telah sifar. Tiada lagi miskin tegar, sekali gus jumlah penurunan kategori miskin menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Bau Wong A/L Bau Ek (PKR – Sidam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Ustazah Ashah turut menjelaskan beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri serta agensi-agensi termasuk bantuan makanan dan sara hidup, Program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA), bantuan peralatan perniagaan, kemudahan asas kepada usahawan kecil serta penyediaan premis dan tapak perniagaan.
“Kini, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan lot sejahtera sebanyak 1,200 lot untuk tapak kediaman. Projek awal ini dilakukan di daerah Padang Terap dan enam buah rumah yang sedang dibina akan disiapkan secepat mungkin,” katanya.
Menerusi usaha itu, jelas beliau, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan inisiatif Program Lot Desa Sejahtera di setiap daerah, Program Bantuan Beras Sejahtera, Program Permataku Sejahtera, Program Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar, Tabung Usahawan Wanita Sejahtera serta program latihan sejahtera care.
“Setiap bulan, mesyuarat Focus Group Discussion (FGD) diadakan di peringkat daerah bagi membincangkan isu kemiskinan secara menyeluruh dengan penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita berharap segala usaha ini dapat terus mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Kedah,” katanya.

0 Comments