SANUSI DEDAH TOKOH NGO, PARTI POLITIK DIJANGKA SERTAI PN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

MUAR - Beberapa tokoh terkemuka daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) dan parti politik dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sudah menerima permohonan rasmi daripada tokoh terbabit, namun ia masih belum boleh didedahkan.

“Buat masa ini kita belum boleh dedahkan lagi kerana perkara itu belum dibincangkan secara muktamad walaupun permohonan sudah dihantar kepada kita. Kita akan dedah siapa tokoh terbabit apabila tiba masanya. 

“Ada ramai tokoh besar NGO dan NGI serta parti yang sedang berkawan dengan kita termasuk PEJUANG (Parti Pejuang Tanah Air). Mereka juga sudah membuat permohonan, tetapi belum dibincangkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS PRU16 Negeri Johor dan Ceramah Perdana PN Johor di Pusat Komuniti PAS Muar, Parit Tarom, di sini.

Menurut Pengerusi PN Kedah itu, terdapat juga pihak yang sudah mengemukakan permohonan namun belum mengisytiharkan secara terbuka penyertaan mereka dalam PN.

“Ada yang mohon tapi belum mengaku secara terbuka, jadi saya tak boleh cakap lagi, nanti maklumkan kemudian," katanya.

Sebelum ini, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan telah mengutuskan surat kepada Pengerusi PN ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memohon partinya diterima sebagai komponen PN.

Surat sama turut diserahkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau.

Mengulas mengenai  isu pelantikan Ketua Pembangkang baharu, Sanusi memaklumkan perkara tersebut akan diputuskan oleh Ahli Parlimen PN dan dijangka dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen pada Jun depan.

Menurutnya, jawatan itu perlu ditentukan di peringkat Parlimen dan dipersetujui kalangan Ahli Parlimen gabungan berkenaan.

“Saya bukan Ahli Parlimen, tetapi sudah dipersetujui bahawa Ketua Pembangkang daripada PAS. Apabila dilantik nanti, ia perlu dimaklumkan dan disahkan di Parlimen,” katanya.

Isu jawatan Ketua Pembangkang menjadi perhatian susulan status Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada BERSATU pada 13 Februari lalu.

Pada Mac, PN memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan disandang oleh seorang Ahli Parlimen daripada PAS.

Post a Comment

0 Comments