PULIHKAN SISTEM PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN AWAM NEGARA

 


Oleh: Ustaz Mohd Hafez Bin Sabri
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi 

Di saat harga minyak melambung tinggi, subsidi RON95 pula dikurangkan, dalam masa yang sama kesesakan di ibu kota semakin parah pengangkutan awam sepatutnya menjadi talian hayat rakyat untuk ke tempat kerja, urusan harian dan juga aktiviti pelancongan. 

Namun malangnya, apa yang diharapkan sebagai solusi, sering kali bertukar menjadi beban apabila gangguan demi gangguan perkidmatan pengangkutan awam terus berlaku tanpa penyelesaian tuntas.

Berikut ialah kronologi gangguan yang melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam:

1.  Pada 4 Julai 2025, perkhidmatan Aerotrain KLIA tergendala selama 1 jam 15 minit susulan takungan air di terowong laluan tren akibat hujan lebat.

2.  Pada 15 Oktober 2025, kedua-dua aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan bekalan kuasa sementara yang menjejaskan operasi.

3.  Pada 14 November 2025, sebahagian kawasan di KLIA terjejas akibat kebocoran air berpunca daripada kegagalan kontraktor mematuhi prosedur wajib, termasuk tidak mengalihkan penutup papan lapis.

4.  Pada 3 Mac 2026, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya tergendala akibat kecurian kabel yang menyebabkan gangguan bekalan kuasa antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai.

5.  Pada 24 Mac 2026, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sekali lagi tergendala akibat masalah teknikal.

6.Pada 18 April 2026, terjadinya gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di KLIA Terminal 1 menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam melibatkan sejumlah besar penumpang 

Kekerapan insiden ini bukan lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil. Ia mencerminkan kelemahan pengurusan, penyelenggaraan dan tahap kesiapsiagaan sistem pengangkutan awam negara yang semakin meruncing.

MOT perlu lebih proaktif dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa, dan tidak sekadar bersifat reaktif dengan hanya bertindak apabila masalah telah berlaku.

Jika masalah ini terus dipandang ringan, bukan sahaja rakyat yang terpaksa menanggung beban, malah imej negara turut tercalar di mata dunia. Sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas dan pantas demi memulihkan maruah negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Post a Comment

0 Comments