GERAKAN POLITIK ‘DIMANDULKAN’ - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim

MUAR - Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa isu berkaitan 3R (agama, kaum, institusi raja) sering digunakan bagi menyekat ruang perbahasan politik, sekali gus menyifatkan ia sebagai usaha ‘memandulkan gerakan politik’.

Beliau berkata, sekatan terhadap perbincangan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja tidak boleh dianggap sebagai undang-undang khusus 3R, sebaliknya merujuk kepada Akta Hasutan serta beberapa peruntukan sedia ada.

“3R bukan undang-undang. Yang ada ialah Akta Hasutan. Oleh kerana kita kuat, perjuangan kita atas asas penubuhan kita, mereka nak tekan kita. Tak boleh cakap 3R, tak boleh sentuh. Mandulkan gerakan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS PRU16 Negeri Johor dan Ceramah Perdana PN Johor di Pusat Komuniti PAS Muar, Parit Tarom, di sini malam Ahad.

Sanusi jelaskan, sekatan berkenaan memberi kesan kepada kebebasan pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing.

“Kalau asas perjuangan tiap-tiap bangsa di negara ini dihalang, ini akan mengecilkan saluran perjuangan politik. Sedangkan dalam banyak parti, isu kaum memang dibincangkan untuk jaga kepentingan,” katanya.

Menurut beliau, perbincangan mengenai bangsa Melayu, hak istimewa Bumiputera serta kedudukan Islam adalah perkara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bila kita cakap tentang Melayu, bukan kita benci kaum lain. Sama macam kaum lain, mereka juga berhak bercakap tentang komuniti mereka. Semua ada ruang,” katanya.

Tambah beliau, terdapat parti politik tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) yang bebas memperjuangkan agenda kaum secara tidak langsung.

“Walaupun tidak disebut secara terbuka, ada yang buat gerak kerja secara senyap untuk mengangkat kaum sendiri, tetapi tak mengaku,” dakwanya.

Sanusi menegaskan, PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menafikan hak kaum lain, sebaliknya hanya menuntut agar hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terpelihara, dihormati dan dilaksanakan.

“Kita tak pernah sentuh hak keistimewaan institusi raja. Keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan Islam termaktub dalam perlembagaan. Kita hanya bercakap tentang Perlembagaan. 

“Kita tak ketepikan masyarakat India atau Cina yang miskin. Kita juga mahu hak Melayu yang dijamin Perlembagaan ditunaikan,” katanya.

Tambah beliau, asas penubuhan parti politik di negara ini juga berbeza mengikut kaum dan agama, justeru perbincangan berkaitan identiti tidak wajar dianggap sebagai isu melampau sekiranya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.

“Jika kita ada pemimpin Melayu tetapi tak berani bercakap mengenai kepentingan orang Melayu, rugilah.

Bila kita bercakap tentang Islam, bukan kita nafikan hak agama lain. Hak agama lain bebas dilaksanakan.

“Asas penubuhan PAS, ditubuh atas asas agama Islam, MIC ditubuh oleh masyarakat India, UMNO ditubuh atas orang Melayu. Ini menunjukkan semua parti politik ditubuhkan atas asas agama dan kaum,” katanya.

Post a Comment

0 Comments