Oleh: Roslinda Hashim
MUAR - Penyokong dan akar umbi UMNO yang menolak kerjasama DAP dan Pakatan Harapan (PH) dipelawa memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan ramai penyokong UMNO di peringkat akar umbi tidak selesa dengan gabungan parti itu bersama DAP dan PH di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, situasi politik semasa di Johor akan membuka ruang kepada kerjasama tidak rasmi di peringkat akar umbi bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
“Saya rasa kalau orang Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri selatan menolak DAP dan PH, mereka boleh bersama PN dan kita boleh menubuhkan kerajaan di Johor.
“PRU16 nanti buatlah pakatan macam mana pun bersama PN, PAS, BERSATU termasuk UMNO di Johor, berpakat elok-elok tumbangkan PH.
“Menteri Besar Johor kawan baik saya. Saya percaya dia orang baik dan dia juga tidak suka DAP, dia yang bagitau saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS PRU16 Negeri Johor dan Ceramah Perdana PN Johor di Pusat Komuniti PAS Muar, Parit Tarom, di sini malam Ahad.
Menurut Sanusi, pendekatan politik di Johor perlu disesuaikan dengan realiti setempat, termasuk mengambil kira perbezaan budaya, bahasa dan landskap politik negeri tersebut berbanding negeri lain.
Katanya, strategi di Johor akan digerakkan oleh pimpinan tempatan termasuk Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed serta parti-parti komponen PN bagi mencari kaedah terbaik membentuk kerajaan.
“Saya hadir di tiga negeri ini, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Keadaan politik setiap negeri tak sama, yang sama hanyalah semangat perjuangan bersama dalam PAS dan PN.
“Pimpinan negeri akan bincang kaedah terbaik untuk menubuhkan kerajaan PN di Johor. Di Melaka pun sama, kita serahkan kepada pimpinan Melaka untuk rangka strategi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perubahan pola politik negara ketika ini menunjukkan tiada lagi parti yang kebal selepas rakyat menolak BN yang memerintah lebih enam dekad.
“Buktikan boleh berlaku perubahan di mana juga dalam negara kita, sebab pola politik tidak lagi seperti dulu. Lebih 60 tahun memerintah, tak ada siapa boleh kalahkan BN hingga mereka melakukan kesilapan yang merugikan negara dan rakya. Akhirnya BN ditolak, di sini (Johor) pun perlu tukar PRN nanti,” katanya.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, kerjasama antara UMNO dan PH di peringkat Persekutuan juga menimbulkan persoalan apabila janji politik sebelum ini tidak lagi dipertahankan.
“Pihak yang sebelum ini berjanji tidak akan bekerjasama akhirnya bersama membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
"Yang bersumpah untuk tidak berbuat sesuatu akhirnya langgar sumpah untuk jadi kerajaan di peringkat Persekutuan, bercumbuan dengan DAP dan PKR,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama politik antara UMNO dan PH itu dibayangi matlamat tersendiri, iaitu untuk membolehkan seorang pemimpin menjadi Perdana Menteri manakala seorang pemimpin lagi terlepas daripada kes mahkamah.
“Isu ini semua orang tahu, saya tak perlu ulas panjang. UMNO sebagai parti keramat orang Melayu yang lahir di Johor tidak sepatutnya digunakan untuk menyelamatkan kepentingan individu,” katanya.
Sehubungan itu, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mengajak rakyat Johor memberi peluang kepada PN untuk mentadbir negeri itu, dengan melihat kepada prestasi pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai bukti keupayaan gabungan tersebut.
“Masa depan rakyat dan negara bergantung kepada PN. Kita diberi pilihan dan peluang dalam pilihan raya, pilih siapa yang kita suka. Tak ada siapa boleh paksa kita. Kebebasan itu dijamin Perlembagaan Persekutuan. Hak itu diberi kepada setiap orang. Pada PRN akan datang, tuan-tuan gunakan hak itu.
“Saya datang bawa hajat besar dari utara Semenanjung, berilah sekali kepercayaan kepada PN untuk membentuk kerajaan di Johor,” ujar beliau.
Tambah Sanusi, kehadiran ramai orang pada ceramah PN di Johor tersebut menjadi petanda awal kemungkinan berlakunya perubahan politik di negeri itu pada PRN akan datang.
“Dengan keazaman pemimpin kita dan pengalaman yang ada, dengan tokoh-tokoh yang kita ada antaranya teknokrat dan pakar ekonomi, jangan takut PN akan perintah mengikut sistem kerajaan yang disusun rapi.
“Kita bertekad untuk mengubah kerajaan di Persekutuan dan di negeri ini. Semua kebaikan kita akan himpunkan dan semua kezaliman, penindasan serta pembohongan akan dijauhkan daripada rakyat,” katanya.

0 Comments