Oleh: Roslinda Hashim
MELAKA - PAS menyasarkan untuk merampas negeri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan sasaran minimum 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimenangi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, daripada 28 kerusi DUN di Melaka, hanya beberapa kerusi disifatkan sukar manakala selebihnya diyakini mampu dirampas berdasarkan kekuatan jentera parti dan sokongan semasa.
“Melaka ada 28 DUN, empat itu kira sukar, 24 lagi tidak susah. BN boleh menang 21 DUN, maknanya PAS boleh menang sampai 21 kerusi.
“Misi PAS untuk rampas negeri ini bukan mustahil, perlu menang sekurang-kurangnya 15 DUN. Mana kerusi UMNO bertanding, kita masuk bertanding,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Melaka, di sini pada Sabtu.
Sanusi berkata, UMNO di Melaka semakin lemah dan parti itu boleh ditumbangkan dengan kekuatan kerjasama parti gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Di Kedah, UMNO tak ada kerusi. Di Melaka pun kita boleh ulang perkara sama. Kedah ada 51 kerusi, 15 Parlimen dan 36 DUN. Satu pun tak menang. Kita ulanglah peristiwa besar itu di Melaka,” katanya.
Tambah beliau, dakwaan UMNO Melaka yang kononnya tidak bekerjasama dengan DAP, disifatkan sebagai naratif yang tidak boleh dipercayai.
“Di Melaka akan ada pakatan, empat kerusi akan diberi kepada DAP, yang lain mereka campur. Mereka kata hendak bertanding semua, itu tidak benar. Mana ada ahli hendak bertanding semua, nanti hilang deposit.
“Apa pun yang berlaku, mereka akan tunjukkan bahawa UMNO kononnya berpisah dengan DAP di Melaka. Jangan percaya, itu semua wayang. Di belakang mereka ada pakatan, mana boleh percaya ‘no Anwar, no DAP’, tapi lepas pilihan raya berkawan,” katanya.
Pengerusi PN Kedah itu menggesa seluruh jentera PAS dan PN di Melaka memperkukuhkan perpaduan dan menghentikan perpecahan dalaman bagi memastikan kemenangan dapat dicapai.
“PRU16, kita bagi kosong (untuk BN). Kita kena kerja sungguh-sungguh, ketepikan kepentingan diri. Jangan berselisih faham.
“Ketepikan semua politik peribadi, politik cari makan, politik bawa diri. Semua pemimpin di Melaka patuh pimpinan dan ikut arahan, jangan buat keputusan sendiri. Sudah-sudahlah berselisih faham.
“Sekarang halakan semua kekuatan, pemikiran dan usaha kita untuk tumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka,” katanya.
Sanusi turut mengingatkan bahawa tempoh persiapan semakin singkat menjelang PRN, dengan jangkaan persaingan politik akan semakin sengit dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Pada masa sama beliau tegaskan, sokongan gabungan PN di Melaka sudah menunjukkan potensi besar, selain menyeru pengundi kembali kepada perjuangan berteraskan politik Islam.
“Saya mengajak seluruh rakyat Melaka untuk memilih PAS dalam pilihan raya akan datang. Selepas Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, saya yakin kalau Melaka dapat ditawan, gelombang PAS boleh meluas ke seluruh Semenanjung.
“Apabila kita sudah diterima, usahalah bersungguh-sungguh untuk kembangkan pengaruh perjuangan Islam melalui wadah PAS,” ujarnya.

0 Comments