“NEGARA BOLEH ROSAK JIKA MENTERI HANYA JAGA PERIUK NASI” - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim

MUAR - Negara berdepan risiko sekiranya menteri-menteri Kabinet yang dilantik hanya mementingkan kedudukan sendiri berbanding tanggungjawab kepada rakyat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sikap segelintir pemimpin dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat lebih menumpukan usaha mengekalkan jawatan merupakan ancaman kepada kestabilan negara.

“Negara ini akan rosak binasa bila menteri yang dilantik untuk jaga negara hanya jaga periuk nasi masing-masing. Kerja hakiki tak dibuat, yang penting menang pilihan raya dan jadi menteri lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS PRU16 Negeri Johor dan Ceramah Perdana PN Johor di Pusat Komuniti PAS Muar, Parit Tarom, di sini malam Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, pemimpin yang bersikap sedemikian tidak wajar diberi peluang kerana hanya akan merugikan negara serta membahayakan masa depan rakyat.

Sanusi membidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dikatakan kerap turun ke kawasan tertentu dengan agenda politik peribadi.

“Kalau saya jadi Menteri Dalam Negeri, banyak agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti polis, imigresen, penjara, tak menang tangan nak buat kerja. Isu pendatang asing pun tak selesai-selesai, itu soal keselamatan negara,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan terhadap isu keselamatan sepatutnya menjadi keutamaan, namun sebaliknya Saifuddin dilihat lebih kerap turun ke kawasan tertentu bagi tujuan persiapan menghadapi pilihan raya.

“Dia asyik ulang-alik ke Kulim. Macam-macam program dibuat sebab nak tanding di situ. Orang di sana pun dah naik muak. 

“Lepas ini tak boleh lantik dah jadi senator, dua penggal sudah habis, macam mana sekalipun kena menang pilihan raya, jadi dia duk ulang balik nak jaga kawasan,” katanya.

Tambah Sanusi, tindakan pemimpin yang terlalu menjaga kedudukan sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai menteri tidak boleh diterima sama sekali.

“Hang sedarlah Pudin, aku kata ini untuk kebaikan hang juga. Benci tu bencilah, tapi bukan dengki. Sebab sayang pada negara ini,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu percaya rakyat sebenarnya sedar dengan situasi tersebut, namun ramai yang tidak berani bersuara.

“Kita akan pusing negara ini. Apa yang saya cakap, orang ramai tahu. Cuma tak berani cakap sebab kerajaan sekarang lebih keras daripada dulu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments