PROTES TERHADAP AZAM BAKI CERMINKAN KRISIS KEPERCAYAAN YANG GAGAL DIURUS KERAJAAN

 

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

10 APRIL 2026 | 21 SYAWAL 1447H

Oleh: Ustaz Mohd Hafez Bin Sabri

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi

Pemuda PAS mengikuti rapat perkembangan yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, termasuk kekecohan yang tercetus akibat protes oleh anak muda sewaktu beliau berucap dalam satu program di WTCKL pada 7 April lalu. Tindakan 3 pemuda tersebut tidak akan melampau ke tahap itu jika kerajaan bertindak cekap dan tangkas dengan tatakelola dan integriti baik.

Rasa tidak puas hati rakyat tidak muncul dalam vakum. Ia lahir kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM terus dibayangi pelbagai dakwaan serius, termasuk yang terbaharu isu pegangan saham bernilai sekitar RM800,000 serta dakwaan berkaitan rangkaian “mafia korporat”, yang sehingga kini terus menjadi bahan pertikaian awam dan laporan media antarabangsa.

Selain itu, Pemuda PAS juga terkilan dengan tajuk wacana yang dibawa oleh Azam Baki iaitu 'memperkasa integriti dan tadbir urus melalui kepimpinan dan pendidikan'. Pada kaca mata rakyat, ianya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul kerana seakan tiada kewajaran seorang tokoh yang sedang diasak dengan dakwaan integriti untuk dijadikan wajah utama kepada wacana seumpama itu. Jelas terserlah kerajaan dilihat gagal membaca sentimen rakyat dan gagal menjaga maruah institusi.

Kami berpandangan, masyarakat sivil tidak akan bertindak sejauh ini sekiranya Perdana Menteri tidak memilih untuk menyambung kontrak Azam Baki berulang kali walaupun kontroversi lama belum benar-benar reda. Lebih membingungkan, individu yang menyambung kontrak Azam Baki adalah individu yang sama yang pernah mendesak Azam direhatkan ketika menjadi pembangkang. 

Protes masyarakat sivil kian memuncak rentetan kerajaan dilihat melengah-lengahkan siasatan berkait dakwaan media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini iaitu; Bloomberg mendakwa Anwar mengarahkan supaya isu melibatkan Farhash tidak disiasat oleh SPRM,  Bloomberg melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham Velocity Capital bernilai sekitar RM800,000 dan Bloomberg menerbitkan laporan 'corporate mafia' yang dikaitkan dengan SPRM. 

Walaupun terdapat penafian rasmi dan sebahagian dakwaan masih kekal belum dibuktikan secara terbuka, kegagalan kerajaan menutup isu ini dengan penjelasan yang telus hanya menambahkan krisis keyakinan.

Justeru, Pemuda PAS sekali lagi menuntut kerajaan menjawab tiga perkara pokok: 

Pertama, apakah tindakan kerajaan terhadap dakwaan Bloomberg bahawa wujud campur tangan berkaitan siasatan melibatkan Farhash

Kedua, bilakah hasil siasatan penuh yang sudah siap berhubung pemilikan saham Azam Baki yang dilaporkan bernilai sekitar RM800,000 akan didedahkan kepada rakyat.

Ketiga, apakah status siasatan semasa terhadap dakwaan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan SPRM. 

Jika kerajaan terus berdolak-dalik dan enggan berlaku telus dengan tuntutan ini, Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan kerjasama lebih luas bersama gerakan masyarakat sivil demi memastikan kebenaran ditegakkan dan maruah institusi negara dipulihkan.


 #TerusMemimpin #PemudaPAS

Post a Comment

0 Comments