“SAYA SUKA RAFIZI SEKARANG” - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka menyatakan beliau kini ‘suka’ kepada Datuk Seri Rafizi Ramli susulan pendedahan demi pendedahan dilakukan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Sanusi berkata, situasi semasa dalam PKR yang menyaksikan perbalahan dalaman memberi kelebihan kepada pihak lawan tanpa perlu melakukan apa-apa serangan.

“Dulu saya marah kat dia (Rafizi). Sekarang, saya suka, suka diri dia yang sekarang. Sebab dia tolong kita, habis dia punggah isu,” katanya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, tindakan Rafizi itu dipercayai akibat rasa kecewa dengan partinya sendiri, selepas perebutan jawatan Timbalan Presiden dengan Nurul Izzah Anwar.

“Selepas dia kalah (pemilihan), kawan tu meratib hari-hari. Bongkar satu persatu isu dalaman PKR dan kepincangan negara, habis satu negara selerak.

“Saya makan ‘popcorn’ tengok. Saya tak payah buat apa dah, biar Rafizi saja bercakap,” katanya dengan nada berseloroh.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata demikian ketika mengulas perkembangan politik semasa membabitkan konflik dalaman PKR.

Sebelum ini, Rafizi tewas dalam pemilihan PKR bagi jawatan Timbalan Presiden pada 2025 sekali gus gagal mempertahankan kedudukannya.

Dalam pertandingan tersebut, beliau kalah kepada Nurul Izzah yang memperoleh sekitar 9,803 undi berbanding Rafizi dengan 3,866 undi.

Kekalahan itu menamatkan perkhidmatan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2022 -2025, susulan itu juga beliau turut meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi sebagai menghormati keputusan parti.

Perkembangan itu juga dikaitkan dengan ketegangan antara Rafizi dan kepimpinan tertinggi parti termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas itu, Rafizi dilihat semakin lantang mengeluarkan kenyataan kritikal terhadap kepimpinan kerajaan dan parti, sekali gus mencetuskan polemik berpanjangan dalam arena politik negara.

Post a Comment

0 Comments