Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kenaikan harga minyak dalam negara ketika ini menimbulkan persoalan apabila bekalan yang digunakan dipercayai masih daripada stok lama sebelum tercetus konflik antarabangsa.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, situasi itu menimbulkan tanda tanya memandangkan stok minyak sedia ada diperoleh sebelum perang antara Amerika Syarikat dan Iran meletus.
Menurut beliau, secara logiknya harga sepatutnya dapat dikawal atau sekurang-kurangnya tidak naik kerana negara masih menggunakan bekalan lama, bukan stok baharu yang dibeli ketika harga global melonjak.
“Yang saya tahu, minyak yang kita guna sekarang ini stok lama, masa itu belum berlaku perang. Tetapi apabila perang berlaku, harga dalam negara turut naik walaupun bukan minyak baharu yang dibeli ketika krisis,” katanya.
Pada masa sama, Sanusi mengakui, konflik Amerika Syarikat-Iran sememangnya memberi kesan kepada pasaran global susulan ancaman terhadap bekalan, gangguan laluan penghantaran serta ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.
“Kita akui perang ini menyebabkan harga minyak dunia naik. Lebih lama konflik berlanjutan, lebih tinggi risiko harga minyak terus naik. Kerajaan perlu telus dalam penetapan harga mingguan minyak,” katanya.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, keadaan sama turut dilaporkan berlaku di Thailand apabila terdapat stesen minyak mengehadkan jualan walaupun bekalan sebenarnya mencukupi.
Katanya, pengguna di negara itu dilaporkan hanya dibenarkan mengisi minyak dalam jumlah kecil, dipercayai bagi menunggu kenaikan harga sebelum stok dijual sepenuhnya.
“Mereka tunjuk di media sosial, beratur panjang di stesen minyak, bukan minyak tak ada (di Thailand), tapi mereka tengok harga, tahan stok sebab jangka harga akan naik.
“Jual sikit dahulu, sebab nak simpan stok. Bila harga naik, baru jual. Jadi nampak macam kurang, tetapi sebenarnya bekalan ada,” jelasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan situasi serupa berlaku di negara ini apabila pengendali mengambil pendekatan menunggu perubahan harga walaupun stok masih mencukupi.
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bekalan minyak negara dijangka kekal stabil apabila enam daripada tujuh kapal Malaysia telah berlepas melalui Selat Hormuz membawa bekalan minyak mentah ke negara ini.
Menurut beliau, hanya sebuah kapal masih terkandas di pelabuhan akibat kerosakan, namun situasi keseluruhan bekalan bagi bulan ini dan Mei dijangka terkawal.
Dalam perkembangan berkaitan, harga runcit bahan api bagi tempoh 9 hingga 15 April, menyaksikan peningkatan ketara bagi RON97 dan diesel, dipengaruhi harga minyak global yang tinggi.
RON95 kekal pada RM1.99 seliter (bersubsidi) dan RM4.27 seliter (tanpa subsidi), manakala RON97 meningkat kepada RM5.35 seliter.
Harga diesel pula naik kepada RM6.72 seliter di Semenanjung, sementara Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter.

0 Comments