“ROH PKR YANG SEBENAR ADA PADA RAFIZI”- SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Gerakan reformasi atau ‘roh’ sebenar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada pada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bukannya dalam kalangan pemimpin parti itu dalam Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semangat perjuangan reformasi yang pernah menjadi asas perjuangan PKR kini dilihat semakin hilang daripada parti itu.

“Sesungguhnya saya rasa roh PKR yang sebenar ada pada Rafizi. Tak ada dah dekat PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau dekat orang-orang dalam Kerajaan Persekutuan.

“Roh itu telah beralih dan berjalan sewaktu tidur pergi kepada Rafizi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu sempena Aidiladha 1447H di Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah mengalu-alukan kehadiran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang ditubuhkan Rafizi untuk mengambil alih PKR khususnya di Kedah.

Katanya, kemunculan Bersama mampu memecah-belahkan PKR dan tidak mustahil sehingga menyebabkan ahli-ahlinya berhijrah kepada parti diterajui Rafizi.

“Saya alu-alukan kehadiran mereka untuk ambil alih PKR di Kedah ini. Pecahkan PKR itu bagi berselerak habis semua, masuk Bersama.

“Ada ka PKR lagi? Untuk hidupkan roh politik reformasi itu, masuklah parti Bersama ramai-ramai khususnya ahli PKR, biar berselerak habis semua,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (Bersama). Penyerahan parti yang diterajui kedua-dua bekas menteri itu dilaksanakan pada majlis pengumuman hala tuju politik mereka pada 17 Mei lalu.

Pada masa sama, mereka turut mengumumkan keluar dari PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Post a Comment

0 Comments