PROJEK RTB SUNGAI KUPANG BERKEPENTINGAN AWAM, BUKAN ISU PARTI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Isu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kupang yang tular di media sosial tidak wajar dipolitikkan kerana ia merupakan projek berkepentingan awam di bawah Kerajaan Persekutuan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid berkata, projek RTB itu penting kerana ia bertujuan mengurangkan risiko banjir serta sebagai langkah mitigasi bencana alam untuk jangka panjang.

Menurutnya, sebarang cubaan mengaitkan projek berkenaan dengan kepentingan parti termasuk dakwaan mahu merobohkan ‘markaz parti’ adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Semua perkara tertakluk kepada undang-undang dan kemaslahatan awam perlu diutamakan, khususnya dalam usaha membendung bencana banjir menerusi pelaksanaan projek ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kawasan berkenaan berada di bawah pentadbiran wakil rakyat diwakili Kerajaan Negeri, sekali gus isu tersebut sememangnya dekat dan sensitif kepada pimpinan setempat.

“Saya rasa tak sepatutnya pihak tertentu menggunakan sentimen parti dalam isu ini. Tidak tepat kalau ada pihak cuba kaitkan seolah-olah ada usaha di sebaliknya yang mahu merobohkan ‘markaz parti’,” katanya.

Ku Abd Muhyi berkata, semua pihak diharap dapat mencari jalan penyelesaian secara adil dan seimbang agar kepentingan rakyat terus terbela tanpa menjejaskan usaha jangka panjang menangani masalah banjir

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigedier Jeneral (B) Dato' Haji Najmi Ahmad  sebelum ini telah mengambil langkah proaktif dengan turun padang bertemu Jawatankuasa Bertindak penduduk berhubung isu berkenaan.

Beliau juga telah menerima memorandum berkaitan kebimbangan yang dibangkitkan penduduk.

Perkara berkenaan turut dibawa ke dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang berakhir minggu lalu bagi mendapatkan perhatian lanjut pihak berkaitan.

“Tindakan susulan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Najmi. 

Difahamkan, projek RTB Sungai Kupang itu melibatkan pemindahan kira-kira 25 penduduk di Pekan Kupang yang terkesan secara langsung dengan pelaksanaan pembangunan berkenaan.

Projek di bawah Kerajaan Persekutuan itu sedang dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir.

“Jawatankuasa Bertindak penduduk Pekan Kupang telah bertemu saya dan menyerahkan memorandum, antaranya mohon penangguhan serta membangkitkan beberapa isu berkaitan proses pemindahan.

“Penduduk berharap agar suara mereka diberi perhatian sewajarnya supaya beban yang ditanggung dapat diringankan,” katanya.

Sehubungan itu, Najmi memohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pemberian ganjaran atau bantuan sewajarnya bagi menampung kos perpindahan penduduk terlibat.

“Selaras dengan harapan mereka, saya telah mohon supaya Kerajaan Negeri dapat pertimbangkan  sedikit ganjaran bagi menampung kos pemindahan melibatkan penduduk terlibat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments