ADUN PERJELAS ISU TULAR POSTER ‘PROGRAM JANDA’ DI KODIANG

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KODIANG - Isu tular kononnya wujud ‘program janda’ di Kodiang Lama Dalam di sini berpunca daripada salah faham selepas poster dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) disalah tafsir sebagai program sebenar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, poster berkenaan bukan bertujuan sebagai gimik promosi atau strategi pemasaran, sebaliknya dihasilkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penggunaan teknologi AI.

Menurutnya, kekeliruan timbul apabila poster terbabit tersebar dalam kumpulan tertentu sehingga orang ramai menyangka ia program sebenar yang dianjurkan di kampung berkenaan.

“Tiada niat mana-mana pihak untuk memburukkan atau mencemar nama sesiapa. Saya hanya ingin memberi penjelasan berhubung poster yang tular itu.

“Program tersebut tidak wujud dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana program di Kodiang Lama Dalam. Ia juga bukan sengaja dibuat sebagai promosi,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, golongan warga emas khususnya mudah terkeliru kerana tidak mengetahui kandungan tersebut dijana menggunakan AI, sekali gus menyebabkan salah faham berlarutan.

Katanya, keadaan itu akhirnya menimbulkan persepsi negatif termasuk dakwaan kononnya penganjur mengeksploitasi wanita, sedangkan perkara tersebut tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, jelas beliau, program sebenar yang akan diadakan ialah ‘Pertandingan Belalang Krek’ pada 2 Mei depan di Kedai Dalam Kampung, Kodiang Lama Dalam.

“Program ini dianjurkan oleh anak Kodiang sendiri dan merupakan acara klasik yang pernah popular suatu ketika dahulu. Ia kini masuk kali keempat penganjurannya.

“Kita ingin jemput orang ramai hadir memeriahkan program ini, bukan program seperti yang tular itu. Program ini bersifat harmoni dan mengangkat komuniti kampung,” ujarnya.

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, penganjuran itu merupakan inisiatif bersama penganjur dan pemilik Kedai Dalam Kampung dalam membangunkan komuniti anak muda di kawasan tersebut.

“Program ini menggabungkan pelbagai acara yang harmoni, dan disertai dari serata negeri termasuk 

Singapura,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk pertandingan ikan laga, belalang krek, permainan PS5, sepak raga tuju dan sepak penanti dengan jumlah hadiah terkumpul sebanyak RM8,000 selain cabutan bertuah.

“Saya sebagai pentadbir kawasan menyokong penuh usaha ini kerana ia mengeratkan hubungan masyarakat dan sesuai untuk seisi keluarga.

“Diharapkan penjelasan ini dapat merungkai kekeliruan dan orang ramai tidak lagi mengaitkan kampung ini dengan program tular yang tidak wujud,” katanya.

Post a Comment

0 Comments