“PRN KEDAH HANYA BOLEH BERLAKU SELEPAS OGOS”

 

SANUSI SOKONG PRU DIADAKAN SERENTAK

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hanya boleh diadakan selepas Ogos tahun ini apabila tempoh 36 bulan pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) genap tempoh. 

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang cadangan untuk membubarkan DUN pada ketika ini adalah tidak berasas kerana ia bertentangan dengan fakta perundangan sedia ada.

“Kita pilihan raya negeri pada Ogos 2023. Pada Ogos 2026 cukup 36 bulan, barulah boleh bubar. Ada siapa tu suruh bubar DUN sekarang, nak cakap pun kaji fakta dulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan & Pelancaran Jentera pilihan raya PAS kawasan Alor Setar.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tidak menolak kemungkinan pembubaran DUN dilakukan serentak dengan beberapa negeri lain termasuk Melaka yang dijangka tamat penggal pada Disember 2026.

“Melaka boleh lanjut sedikit, mungkin hingga Februari. Kita boleh bubar bersama mereka kalau itu dipersetujui,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi turut menyatakan pendirian menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pilihan raya negeri dan Parlimen diadakan secara serentak bagi menjimatkan kos.

“Saya sepakat dengan PM, buat pilihan raya serentak negeri dan Parlimen. Teruk belanja kalau tak buat serentak. PM kata boleh bincang,” katanya.

Beliau memaklumkan tiada sebarang tarikh khusus dinyatakan oleh Perdana Menteri setakat ini, namun memberi bayangan bahawa proses pilihan raya boleh berlaku lebih awal daripada jangkaan.

 “Tarikh tak ada lagi lah setakat ini. PM kata lambat lagi. Bila orang politik kata lambat lagi, itu maknanya cepat. Kalau dia kata cepat, maknanya lambat,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Sanusi mengarahkan seluruh jentera parti supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa selepas Ogos, sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen.

“Jentera mesti bersedia sepenuhnya. Kita akan bentangkan rekod perkhidmatan wakil rakyat, Exco dan kerajaan negeri kepada rakyat,” jelasnya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu tegaskan, mandat untuk menentukan Kerajaan Negeri seterusnya tetap terletak di tangan rakyat Kedah dan pihaknya akan menerima keputusan dengan hati terbuka.

“Kita tidak akan tipu atau manipulasi. Kita akan cerita apa yang kita laksanakan berdasarkan kemampuan, biar rakyat nilai dan pilih siapa untuk jadi Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli dan jentera parti agar tidak mementingkan habuan kerana sikap sedemikian boleh menggugat kestabilan kerajaan.

“Perjalanan kita masih panjang, doa pada ALLAH SWT agar kita diberikan kekuatan dan istiqamah serta jentera yang tidak meminta habuan. Perkara yang boleh jatuhkan kerajaan adalah apabila ada yang meminta-minta  habuan. Kita pernah lalui sebelum ini, bila ada kepentingan diri, kerajaan boleh runtuh,” tegasnya.

Tambah beliau, kejayaan parti bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan semua pihak dalam melaksanakan amanah.

“Kalau kita kerja sungguh-sungguh dan ikhlas, ALLAH SWT akan permudahkan urusan. Mari kita buat bersama-sama supaya beban berat ini jadi ringan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments