Oleh: Muhamad Mat Yakim
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah
Ada pihak tertentu mengkritik Menteri Besar Kedah dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 16 April lalu yang menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan status bebas cukai Pulau Langkawi secara lebih meluas sebagaimana dinikmati sejak ia dilaksanakan bermula 1 Januari 1987.
Untuk makluman, isu itu sebenarnya bukanlah dicetuskan oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sendiri.
Beliau menyokong titah KDYMM Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang dalam titah ucapan istiadat pembukaan persidangan 13 April 2026, secara jelas telah menyeru status Pulau Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai dikembalikan secara lebih meluas dengan segala keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
Kita maklum status bebas cukai di Pulau Langkawi masih lagi dilaksanakan, terutama melibatkan barangan seperti coklat, kosmetik, minyak wangi, aksesori, pakaian dan sebagainya.
Dalam ucapan beliau, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi tidak hanya memfokuskan kepada pengecualian cukai kereta super mewah meskipun itulah yang diberikan tumpuan oleh pengkritik.
Beliau menyarankan supaya ditambah item atau barangan yang diberi pengecualian cukai termasuk barangan yang lazim dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah demi mengembalikan status Langkawi sebagai destinasi pilihan pelbagai kelas masyarakat.
Untuk rekod, bermula 1 Januari 2026, pengecualian cukai bagi barangan tertentu termasuk kereta mewah yang berharga lebih RM300,000 telah ditarik balik, menyebabkan harga bagi kenderaan kategori itu tidak jauh berbeza dengan di Tanah Besar.
Kita sedia maklum kadar cukai yang dikenakan bagi pembelian kenderaan di negara kita adalah sangat tinggi meliputi duti import, duti eksais dan cukai jualan yang jika dijumlahkan lebih sekali ganda harga asal.
Justeru apabila harga kereta mewah di Langkawi sudah tidak lagi berbeza dengan harga di Tanah Besar, tiada lagi tarikan untuk orang luar membeli dan menyimpan kereta mewah mereka di sana.
Langkah ini sedikit sebanyak menjejaskan status Langkawi sebagai destinasi bebas cukai yang telah menjadi tarikan utama kehadiran pelancong termasuk ekspatriat luar negara yang menjadikan pulau itu sebagai 'Rumah Kedua’ di bawah dasar ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H).
Umum mengetahui bahawa Langkawi selama ini menjadi pilihan golongan ‘super kaya’ dari luar negara yang datang bukan sekadar menikmati keindahan pantai - yang mereka boleh dapati di negara-negara lain juga - tetapi membeli dan memandu kereta mewah bebas cukai dengan gaya hidup eksklusif.
Kehadiran mereka mewujudkan rantaian industri yang sangat lumayan untuk jangka panjang seperti pusat servis, penyenggaraan premium, detailing, garaj eksklusif yang diberi julukan hotel kereta, gudang penyimpanan kereta mewah, insurans, logistik dan servis penghantaran khas.
Industri ini mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang meluas sekali gus menjana pulangan jauh lebih besar berbanding cukai yang dikutip sekarang ini.
Selain itu, ia juga membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selain perniagaan baharu yang bernilai tinggi untuk warga tempatan, terutama golongan muda.
Amat menyedihkan apabila laporan daripada pihak berkuasa tempatan menyatakan bahawa pengedar-pengedar kenderaan super mewah di Langkawi terpaksa menutup bilik pameran mereka di pulau itu sejak rejim percukaian baru dikuatkuasakan.
Ini amatlah merugikan!
Alasan pengecualian cukai ditarik balik kerana manipulasi tempoh 90 hari maksumum dalam setahun yang dibenarkan untuk pemilik bawa dan guna kereta di luar Langkawi, sebenarnya tidaklah cukup kuat.
Yang sebenarnya merugikan ialah jika kenderaan itu langsung tidak dibeli di Langkawi - atau di mana-mana di negara ini - setelah pengecualian cukai ditarik balik.
Walaupun kemungkinan ada manipulasi, pembelian kereta mewah bebas cukai di Langkawi tetap akan mewujudkan aktiviti jual beli, pemilik akan berbelanja di Langkawi, guna pelbagai servis tempatan dan mencipta banyak peluang ekonomi.
Kerajaan Persekutuan sebenarnya tidak akan rugi meskipun kehilangan peluang mengutip cukai import, duti eksais, dan cukai jualan (SST) daripada pembelian kereta berharga lebih RM300,000 - yang hanya dapat dikutip sekali gus - namun kutipan tinggi dan berterusan tetap akan diperolehi daripada cukai perkhidmatan (SST) sektor pelancongan, cukai pendapatan syarikat-syarikat yang akan terus hidup dengan kehadiran pelancong yang tinggi, cukai hartanah dan pembangunan menerusi perbelanjaan pelancong asing dan tempatan.
Ini adalah strategi ekonomi berimpak tinggi yang seharusnya dimajukan lagi oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia mampu merangsang pertumbuhan pelancongan, pelaburan serta ekosistem perniagaan hiliran yang berupaya memberi manfaat lebih meluas kepada rakyat.
Alasan pengkritik mempertahankan dasar itu konon untuk membela rakyat miskin adalah terlalu simplistik.
Memanglah ia akan menghasilkan pulangan berbilion kepada Kerajaan dari segi kutipan cukai sekali gus namun dalam perspektif jangka panjang, langkah itu boleh membunuh reputasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Tambahan pula dalam keadaan perang berlarutan di Asia Barat, Langkawi seharusnya mengambil peluang menyaingi Dubai sebagai destinasi tumpuan golongan kaya dari seluruh dunia.
Jika sekadar menawarkan coklat dengan harga murah, agak sukar untuk pulau itu terus bersaing dengan jiran terdekat di Thailand, termasuk kalangan pelancong dalam negara sendiri.
Tambahan pula dengan masalah kekurangan feri yang masih tidak selesai dan gagal ditangani secara tuntas oleh Kementerian Pengangkutan, masa hadapan Langkawi dibimbangi akan semakin suram.
Kelak jangan dipersalahkan Kerajaan Negeri semata-mata kerana yang mengaut keuntungan langsung daripada sektor pelancongan adalah Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, gesaan yang berasal usul dari titah KDYMM Sultan Kedah ini seharusnya dinilai secara positif dan mendapat pertimbangan sewajarnya oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan.
Jika mahu berbicara hal membela nasib orang miskin, banyak lagi isu lain yang perlu ditangani terutama melibatkan penoreh getah, pesawah yang rata-ratanya hidup dalam kemiskinan, bukan Langkawi.

0 Comments