Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan mendedahkan satu persatu isu sebenar di sebalik projek-projek mega yang dicanang kononnya ia projek gagal bawah pentadbiran beliau, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan projek litar lumba di Sungai Petani.
Beliau berkata, pendedahan tersebut penting bagi memastikan rakyat mengetahui fakta sebenar, selain menangkis persepsi negatif yang didakwa sengaja dimainkan pihak tertentu.
“Kita akan dedah satu persatu. Kita akan perincikan semua ini supaya rakyat tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Alor Setar di sini.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu, beliau sebelum ini mengambil pendekatan tidak mahu mengungkit kesalahan pentadbiran terdahulu, sebaliknya fokus kepada pembangunan masa depan negeri.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pihak lawan yang terus menyerang dan memainkan persepsi negatif memaksa Kerajaan Negeri tampil menjelaskan keadaan sebenar.
“Saya nak ke depan, tak mahu tengok ke belakang. Tapi bila mereka cipta politik tidak gentleman, maka kita akan ambil sedikit apa yang mereka buat dahulu supaya rakyat tahu.
“Mereka tak ada kerja apa sekarang, hari-hari buat podcast kecam Kerajaan Negeri. Sudah sampai masanya kita pula cerita apa yang telah terjadi masa zaman mereka tadbir Kedah,” ujarnya.
Mengulas mengenai projek KXP, Sanusi menjelaskan projek itu bukan inisiatif kerajaan PN, sebaliknya dicetuskan sejak 2014 ketika mereka masih pembangkang.
Katanya, Kerajaan Negeri tetap meneruskan projek berkenaan kerana ia memberi manfaat besar kepada Kedah, namun kini berdepan kekangan tertentu di peringkat Persekutuan.
“Kita sudah selesaikan bahagian kita, tinggal dua nasihat lagi melibatkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), tetapi semakin hari proses itu semakin perlahan,” katanya.
Sanusi turut mempersoalkan layanan berbeza Kerajaan Persekutuan yang sanggup menyalurkan peruntukan besar kepada negeri jiran, sebaliknya memperlahankan projek di Kedah walaupun melibatkan dana swasta.
“Rakyat perlu tahu, mereka sanggup bagi puluhan bilion kepada negeri jiran kita, projek yang kita nak bangunkan dengan dana swasta pula dia tekan brek.
“KXP itu projek mereka, bukan saya, bukan PAS atau BERSATU, juga bukan projek PN, ketika 2014 kita pembangkang di Kedah. Bila jadi kerajaan, kita sambung sebab kita sokong projek yang baik.
“Berbeza dengan PH, apabila tak jadi kerajaan mereka menentang projek yang mereka cadang dulu.
Dia cadang dia lawan,” jelasnya.
Beliau turut membangkitkan isu projek litar lumba di Sungai Petani yang menimbulkan pelbagai persoalan.
“Projek tersebut bermula dengan pinjaman RM30 juta, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) beri tetapi mereka minta tambah lagi RM43 juta, tak lulus, tukar design dan kos meningkat kepada RM73 juta.
“Kerja tanah sahaja menelan belanja RM10 juta dan baki RM20 juta. Kalau kita nak cuci tangan, kita boleh umum projek itu batal. Tapi kita bukan jenis tak ambil tanggung jawab, kita tak mahu duit RM10 juta itu hangus, jadi kita sambung projek itu,” katanya.
Sanusi jelaskan, terdapat kelemahan dalam pengurusan projek terdahulu termasuk kemungkinan perbelanjaan dibuat di atas tanah bukan milik kerajaan, selain isu kontraktor gagal menyiapkan projek.
“Exco Belia dan Sukan ketika itu umum katanya projek ini akan jadi pusat pameran setanding SIC di Sepang.
“Kalau kita audit RM10 juta itu tak tahu ke mana, katanya kerja tanah. Tanah itu belum jadi tanah kerajaan sudah belanja RM10 juta. Prosedur sekarang, duit kerajaan hanya boleh dibelanja atas tanah kerajaan. Tapi dibelanja atas tanah bukan tanah kerajaan. Nak jawab apa?
“Kontraktor lari bukan salah kita, ia berpunca dari masalah di bursa, maka sangkut projek itu. Namun dicipta supaya projek itu bermasalah dan beban itu diletak atas kita sekarang. Kalau kita tak bagitau hal sebenar, rakyat tak tahu,” ujarnya.
Sanusi turut mendedahkan Kerajaan Negeri sebelum ini pernah berhutang RM200 juta dengan Putrajaya bagi membayar gaji penjawat awam.
“Zaman dulu, masa Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah jadi Menteri Besar, nak bayar gaji pun terpaksa berhutang dengan Putrajaya sebanyak RM200 juta. Kita dah bayar habis hutang itu, saya tidak pernah sebut di mana-mana sebelum ini,” katanya.
Sanusi jelaskan, Kerajaan Negeri akan terus berusaha mengurus kewangan secara berhemah walaupun berdepan kekangan sumber.
“Kita akan terus bekerja walaupun saluran kewangan kita kecil. Kita bekerja ikhlas, kita tak sakau duit orang, kita tak boros, tak merapu dan cermat berbelanja. Walaupun nipis pendapatan, kita berjalan dengan terbaik,” katanya.

0 Comments