PORT PADANG GARAM TARIKAN BAHARU PELANCONGAN KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KEDAH - Port Padang Garam yang dahulunya dipenuhi semak samun dan hutan belukar kini muncul sebagai lokasi berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu Kedah.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, pembangunan kawasan itu bukan sahaja mampu menarik kehadiran pengunjung, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, ketika ini seramai 75 peniaga beroperasi di sepanjang kawasan berkenaan dengan  90 peratus daripadanya terdiri daripada penduduk Kubang Rotan.

“Tempat ini bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung, malah menjadi lokasi masyarakat sekitar mencari rezeki. Itulah manfaat utama pembangunan kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah yang diadakan di lokasi tersebut.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta mantan Perdana Menteri ke-8 yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mohd Salleh, lokasi berkenaan dijadikan Rumah Terbuka Aidilfitri bagi memperkenalkan Port Padang Garam kepada pimpinan tertinggi negeri dan Pusat bagi menunjukkan potensi besar yang boleh diketengahkan sebagai destinasi pelancongan.

“Kalau dibangunkan dengan elok, kawasan ini pasti menjadi produk pelancongan yang memberi manfaat kepada peniaga dan negeri,” ujarnya.

ADUN Kubang Rotan itu turut menjelaskan bahawa pembangunan Port Padang Garam kini berada pada peringkat awal, pelbagai perancangan telah disusun termasuk pelan pembangunan menyeluruh oleh PlanMalaysia.

Katanya, projek seterusnya melibatkan laluan dari Sungai Dua ke Kuala Kuar sejauh kira-kira tiga kilometer dijangka bermula dalam masa terdekat, menjadikan keseluruhan pembangunan kawasan itu mencecah tujuh kilometer.

“Apabila siap sepenuhnya, kawasan ini akan menjadi tumpuan masyarakat setempat untuk aktiviti riadah dan rekreasi selain menarik pengunjung luar,” katanya.

Menurut beliau, antara keistimewaan utama lokasi terbabit ialah pemandangan matahari terbenam yang menjadi tarikan pengunjung setiap hujung minggu termasuk hari bekerja.

“Bukan sahaja orang sekitar, pengunjung dari luar Kedah juga datang ke sini. Kita akan terus memperhebat pembangunan kawasan ini secara lebih agresif,” katanya.

Selain itu, kawasan tersebut juga dirancang sebagai lokasi penganjuran pelbagai acara termasuk pertandingan memancing bertaraf antarabangsa yang dijangka berlangsung Mei depan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dari pelbagai negara.

“Kita akan anjur pelbagai program di sini agar ia  menjadi port pelancongan yang menarik, pada masa sama dapat mengangkat nama Kedah,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Salleh memaklumkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan bersama BERSATU Kedah itu mendapat sambutan luar jangka.

Katanya, program julung kali diadakan di lokasi tersebut berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung sehingga menyebabkan makanan yang disediakan habis lebih awal.

“Saya sasarkan kehadiran sekitar 20,000 orang namun kehadiran di luar jangka dengan anggaran lebih 40,000 pengunjung sejak petang.

“Saya mohon maaf kepada pengunjung yang tidak sempat menjamu selera. Insya-ALLAH, kita akan anjurkan pada skala lebih besar selepas ini,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan lagu tema “Kubang Rotan Ku” yang menggambarkan kehidupan masyarakat setempat yang ceria, sejahtera, harmoni dan bersatu padu.

“Lagu ini menjadi simbolik kepada tempoh dua tahun lima bulan saya berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Kubang Rotan, selain mencerminkan semangat tagline saya, iaitu ‘dinamik, sepakat, sejiwa’,” katanya.

Post a Comment

0 Comments