NEGARA SEDANG MENGHADAPI KRISIS MINYAK & KRISIS KEPIMPINAN: KE MANA HALA TUJU NEGARA?

 

Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah

Pengerusi Lajnah Ekonomi & Keusahawanan PAS

Dalam saat dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing, khususnya ketegangan melibatkan kuasa besar Amerika Syarikat terhadap Iran, rakyat Malaysia hari ini bukan sekadar memerhati tetapi sedang menanggung kesannya secara langsung. 

Harga minyak meningkat, kos sara hidup menekan, dan yang paling membimbangkan ialah kepimpinan negara dilihat seolah-olah tidak bersedia dan bagaikan hilang punca.

Persoalannya mudah: Mana perancangan? Mana strategi? Dan yang paling penting, adakah pemimpin negara mempunyai keberanian untuk bertindak?

1. Rakyat Disuruh Berjimat Tetapi Adakah Kerajaan Sudah Berkorban?

Kerajaan hari ini begitu mudah mengulang skrip lama iaitu “rakyat perlu berjimat”. Namun rakyat berhak bertanya: apakah contoh penjimatan besar yang telah ditunjukkan oleh kerajaan sendiri?

Adakah perbelanjaan kerajaan telah dipotong secara signifikan? Adakah membuat arahan bekerja dari rumah untuk mereka tinggal di bandar utama (ibu negeri) itu dianggap satu keputusan sangat strategik?.

Adakah elaun, kemewahan, dan pembaziran dalam kalangan kepimpinan tertinggi negara telah dikurangkan?

Lebih penting, dalam suasana dunia yang sedang berisiko tinggi akibat konflik antarabangsa, adakah kerajaan telah membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara kesan dari perang USA dan Iran?

Jika tiada, maka nasihat “berjimat” itu bukanlah kepimpinan tetapi ia sekadar melepaskan tanggungjawab kepada rakyat.

1. Berbilion Dijimatkan dari Subsidi Minyak.

Kerajaan telah melaksanakan rasionalisasi subsidi minyak. Hasilnya berbilion ringgit “penjimatan” berjaya direkodkan.

Namun persoalan besar timbul ialah ke mana perginya wang hasil dari rasionalisasi tersebut?

Mengapa dalam keadaan rakyat sedang terhimpit hari ini, kerajaan tidak mengembalikan sebahagian daripada penjimatan tersebut untuk menstabilkan harga minyak?

Apakah makna “penjimatan” jika akhirnya rakyat tetap menjadi mangsa tekanan harga?

Penjimatan tanpa pengagihan semula kepada rakyat adalah kegagalan dasar dan pastinya bukan kejayaan fiskal.

1. Kutipan SST Meningkat. Persoalannya Mengapa Rakyat Tidak Dibantu?

Pelaksanaan SST telah menyumbang kepada peningkatan hasil negara dengan kutipan berbilion ringgit setiap tahun. Rakyat membayar lebih untuk barangan dan perkhidmatan dan itu hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Namun di saat rakyat menanggung beban tersebut, tidakkah kerajaan boleh menunjukkan sedikit keprihatinan dengan menyalurkan sebahagian hasil SST untuk subsidi bersasar minyak. Malangnya kuota subsidi pula dikurangkan dari RM300 kepada RM200 untuk setiap rakyat yang layak.

Di samping itu usaha mengurangkan tekanan harga rantaian bekalan diperlukam kerana ia mampu memberi “pulangan moral” kepada rakyat yang setia membayar cukai. Jika hasil cukai hanya menguatkan angka dalam laporan kewangan tanpa memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, maka dasar percukaian itu hilang nilai kemanusiaannya.

1. Di Mana “Strategic Petroleum Reserve” Negara?

Sebuah negara yang berdaulat dan berdaya tahan tidak akan bergantung sepenuhnya kepada pasaran global tanpa perlindungan. Lebih penting lagi Malaysia adalah negara pengeluar minyak.

Pada asasnya semua negara maju mempunyai simpanan strategik minyak (strategic petroleum reserve)—sebagai benteng menghadapi krisis seperti perang atau bencana.

Persoalannya adakah Malaysia mempunyai simpanan mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 bulan penggunaan? Jika ada, mengapa tidak digunakan untuk menstabilkan harga semasa krisis? Jika tiada, mengapa selama ini tiada usaha serius membinanya?

Namun begitu, cara kerajaan bertindak hari ini seolah-olah negara tidak mempunyai “buffer” langsung dan ini amat berbahaya buat rakyat dan negara. Dengan kata lain negara tanpa simpanan strategik adalah negara yang terdedah kepada kejutan luar tanpa perlindungan.

1. Tiga Tahun Kerajaan Madani Memerintah—Mana Pelan Pengurusan Krisis Negara?

Kerajaan Madani telah mentadbir lebih tiga tahun. Tempoh ini sepatutnya cukup untuk:

1. Membina pelan mitigasi krisis ekonomi.

2. Menyediakan simpanan strategik makanan dan tenaga.

3. Memperkukuh daya tahan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Namun apabila krisis benar-benar berlaku, respon yang diberikan hanyalah  retorik dan reaktif iaitu bukan strategik dan proaktif. Ini menimbulkan persoalan yang lebih besar iaitu adakah kerajaan benar-benar merancang atau sekadar bertindak selepas keadaan menjadi parah?

1. Kegagalan Pengurusan Risiko: Negara Tidak Boleh Bergantung Nasib.

Dunia hari ini tidak stabil. Risiko bukan lagi kemungkinan tetapi ia adalah kepastian. Kerajaan yang cekap tidak menunggu krisis berlaku. Mereka membina sistem, menyimpan rizab, merangka pelan kontingensi, dan melindungi rakyat sebelum krisis tiba.

Namun apa yang diihat hari ini ialah:

1. Negars tiada pelan jelas menghadapi lonjakan harga minyak global.

2. Negara tiada mekanisme segera melindungi rakyat daripada kesan rantaian ekonomi.

3. Negara tiada komunikasi strategik yang meyakinkan rakyat bahawa negara berada dalam keadaan terkawal.

Realiti di atas jelas menunjukkan kelemahan negara dalam aspek dasar. Dengan kata lain ia adalah kegagalan dalam pengurusan risiko negara.

Tidak dinafikan bahawa rakyat tidak mahu alasan. Rakyat mahu tindakan. Rakyat Malaysia bukan tidak memahami cabaran global. Mereka tahu dunia sedang bergolak. Tetapi yang mereka harapkan ialah kepimpinan yang bersedia, bukan yang mudah terkejut dan bila bertindak menjadikan rakyat sebagai mangsa.

Jika kerajaan hanya mampu menyuruh rakyat berjimat, sedangkan mereka sendiri gagal menunjukkan teladan, gagal mengurus hasil negara dengan bijaksana, dan gagal merancang untuk krisis, maka ini bukan lagi soal ekonomi semata-mata. Ini jelas menunjukkan Kerajaan Madani telah gagal dan kepercayaan rakyat yang rasional terhadapnya semakin terhakis.

Post a Comment

0 Comments