Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KEDAH - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan belum tiba masa untuk mendedahkan intipati pertemuan tiga mata membabitkan pimpinan utama PN yang berlangsung secara tertutup semalam.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, tiada keperluan buat masa ini untuk berkongsi agenda perbincangan tersebut kepada umum.
“Belum masanya lagi,” katanya ringkas.
Pertemuan itu membabitkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang dilihat ‘serius’ ketika mengadakan perbincangan bersama Sanusi di khemah khas yang disediakan.
Sementara itu, Mohamed Azmin memaklumkan pertemuan berkenaan antara lain menyentuh tentang perkembangan politik semasa serta langkah-langkah untuk memperkukuhkan PN.
“Semoga ALLAH SWT mempermudahkan perjalanan perjuangan yang luhur ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.
Pertemuan singkat namun disifatkan penuh makna itu dipercayai membincangkan perkara-perkara penting melibatkan kepimpinan dan hala tuju PN.
Semoga apa yang disepakati mengukuhkan lagi kesatuan antara PAS dan BERSATU di peringkat negeri mahupun peringkat nasional.
Pertemuan pemimpin utama berkenaan diatur sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dan BERSATU Kedah yang diadakan meriah di Port Padang Garam, di sini, berikutan kekangan jadual padat ketiga-tiga pemimpin terbabit.
Dalam pada itu, kehadiran lebih 40,000 pengunjung mencerminkan sokongan berterusan rakyat Kedah terhadap BERSATU yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Negeri.
Malah, orang ramai tidak berganjak hadir menikmati pelbagai juadah Hari Raya walaupun hujan lebat melanda kawasan itu bermula kira-kira 9.50 malam.

0 Comments