PENYATUAN UMMAH DI MELAKA: “SAYA ALU-ALUKAN, TAPI UMNO TAK. JANGANLAH MAIN DUA KOLAM” - SANUSI

 


Oleh: Roslinda Hashim 

MELAKA - Usaha penyatuan ummah di Melaka wajar diteruskan, namun perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa percanggahan pendirian antara pemimpin parti.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyatuan ummah dan kerjasama politik Melayu-Islam bukan sekadar strategi politik, sebaliknya ‘perintah ALLAH’ untuk mengelakkan perpecahan umat.

“Kita harap perpaduan ummah, penyatuan umat ini boleh diusahakan di Melaka,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran jentera pilihan raya PAS negeri Melaka, di sini pada Sabtu. 

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan penyatuan Melayu antara dua parti terbesar, UMNO dan PAS perlu segera dimulakan di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan rekod semasa di Melaka, UMNO memenangi 21 daripada 28 kerusi manakala PAS tidak memenangi sebarang kerusi.

Bagaimanapun, Muhamad Akmal menegaskan isu penyatuan Melayu tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut pembahagian kerusi atau kekuatan parti dalam pilihan raya, sebaliknya penyatuan Melayu perlu dimulakan dengan dua parti Melayu terbesar terlebih dahulu.

Sanusi bagaimanapun membidas sikap parti lawan yang disifatkan tidak konsisten dalam pendirian politik.

“Parti duk dindong-dindong, macam mana tu? Akmal nak ke sini, parti nak ke sana. Dia kata nak pakat dengan PAS, saya alu-alukan, tapi parti dia (UMNO) tak… buat masa sekarang lah,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu turut menyifatkan kerjasama politik yang dilihat masih samar, apabila ada pihak cuba mendekati PAS, namun dalam masa sama bekerjasama dengan parti lain.

“Kalau Akmal mahu dan bersedia untuk penyatuan ummah di Melaka, buatlah elok-elok. Parti dia pun janganlah dindong-dindong. 

“Dalam masa ajak kita berpakat, pada masa sama peluk DAP. Belakang peluk DAP, depan nak bersama PAS. Mana boleh macam tu. Janganlah main dua kolam,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Sanusi menegaskan penyatuan umat Islam bukan isu politik semata-mata sebaliknya tuntutan agama.

“Ini bukan harapan PAS, tetapi harapan umat Islam. Ini perintah ALLAH Ta’ala. Tak boleh pecah belah kerana ia melemahkan umat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kuasa politik Melayu-Islam berdasarkan kedudukan majoriti di negara ini, dengan merujuk kepada sejarah penerimaan masyarakat terhadap kepelbagaian kaum.

“Kita nak kuasa politik berada di tangan orang Islam, Melayu sebagai majoriti. Berdasarkan sejarah, kita hidup aman damai, tak aniaya sesiapa. Sebab itu penting kuasa politik berada di tangan orang Islam, Melayu. Itu perjuangan kita sekarang,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, gabungan itu menyasarkan sekurang-kurangnya memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi membentuk majoriti mudah.

“PN akan bertanding banyak kerusi dengan minimum 15 kerusi untuk dimenangi.  Kerusi DAP di sini, memang susah. UMNO pun tak boleh lawan,” katanya. 

Sanusi turut menyentuh kedudukan kerusi Parlimen di Melaka yang menyaksikan BN tidak memperoleh sebarang kerusi.

“Mana ada kerusi Parlimen mereka menang. BN tak ada kerusi Parlimen di Melaka. Semua ada enam kerusi (Parlimen), satu pun tak menang,” katanya.

Ditanya sama ada populariti Muhamad Akmal akan melemahkan PAS Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Sanusi secara berseloroh berkata, “Saya lagi popular. Boleh jawab macam tu”. 

Ketika ditanya sama ada populariti beliau akan menyebabkan dirinya beralih bertanding kerusi Parlimen di Melaka, Sanusi menolak tanggapan itu.

“Ada ka patut saya bertanding di Melaka? Saya bertanding di Kedah lah. Akmal bertanding di Melaka. Populariti saja tak cukup, parti kena kuat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments