ISU BAYARAN HASIL PETROLEUM TERENGGANU: ANTARA ROYALTI, WANG EHSAN DAN DKKP

 


Oleh: Dr Azman Ibrahim
Exco Pertanian Negeri Terengganu

Saya gunakan istilah 'royalti' dalam penulisan sebagai suatu istilah umum yang paling mudah difahami oleh masyarakat awam bagi maksud bayaran hasil minyak kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar minyak.

Untuk lebih detail, saya tulis sikit kronologi royalti minyak Terengganu.

Terengganu mula menerima royalti minyak dari 1978 sehinggalah royalti dirampas pada tahun 2000 ketika PAS mentadbir Terengganu. Usul supaya tarik balik royalti ini diusulkan oleh Ketua Umno Bahagian Dungun dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000.

Royalti bermakna bayaran tunai langsung sebanyak 5% dari hasil petroleum oleh Petronas terus ke dalam akaun Kerajaan Negeri sebanyak 2 kali setahun, dilakukan pada bulan Mac dan September setiap tahun.

Selepas tahun 2000, tiada lagi bayaran langsung oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri. Wang Ehsan mula diperkenalkan. 5% yang sepatutnya diterima langsung oleh Kerajaan Negeri dari Petronas telah diambil oleh Kerajaan Pusat dan disalurkan kepada JPP dan agensi Pusat lain. Tiada lagi penyaluran terus dari Petronas kepada akaun negeri sebagaimana maksud royalti yang asal.

Apabila BN kembali memerintah Terengganu pada 2004, wang ehsan disalurkan kepada Kerajaan Negeri oleh MOF samada dalam bentuk tunai atau pun perlaksanaan projek. Antaranya kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.8 bilion adalah menggunakan duit minyak hak Negeri Terengganu. Sehingga sekarang Kerajaan Pusat masih terhutang RM1.4b kos pembinaan LPT2 kepada Kerajaan Terengganu. Malah duit minyak Terengganu juga digunakan untuk pelbagai projek pembangunan perumahan di negeri-negeri lain.

Apabila PAS mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai 'Wang Tunai Petroleum' pada zaman Kerajaan PH dengan dipotong 20% sebagai bayaran hutang Negeri kepada Pusat tinggalan Kerajaan lepas sebanyak RM800j. Sebanyak RM600j bayaran hasil minyak Terengganu sempat dipotong oleh Kerajaan Pusat zaman LGE jadi MOF. Dalam masa yang sama, RM1.4b hutang LPT2 Kerajaan Pusat kepada Terengganu masih tak terusik.

Ringkasnya...

Zaman Tun M sebagai PM pasca PRU 2018, LGE sebagai Menteri Kewangan, wang petroleum Terengganu atas nama Wang Tunai Petroleum dibayar 2 kali setahun pada Mac dan September tapi dipotong 20% untuk bayaran hutang Terengganu dengan Pusat.

Zaman TSMY sebagai PM, wang petroleum Terengganu atas nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) dibayar penuh 2 kali setahun pada Mac dan September tanpa dipotong.

Zaman DSIS sebagai PM, wang petroleum Terengganu atas nama DKKP juga dibayar penuh 2 kali setahun pada Mac dan September.

Zaman PMX, wang petroleum Terengganu tak dibayar penuh kepada Kerajaan Negeri tapi Kerajaan Negeri perlu mohon kepada MOF. Nak bayar gaji kena mohon, nak buat program kena mohon, nak buat projek pembangunan kena mohon termasuk nak bayar bonus kepada kakitangan juga kena mohon. Ada permohonan yang diluluskan, ada yang diluluskan sebahagian sahaja, ada yang lulus bersyarat dan ada yang tak diluluskan. Mudah sebut, penyaluran wang petroleum adalah berdasarkan permohonan atau 𝒃𝒚 𝒄𝒍𝒂𝒊𝒎.

Nak mudah faham lagi, duit petroleum Terengganu ada tapi dipegang oleh MOF dan Kerajaan Negeri perlu minta bila nak guna. Tapi minta pun bukan semestinya dapat. 

Untuk lebih jelas lagi, duit minyak Terengganu yang sepatutnya disalurkan terus oleh Petronas ke dalam akaun Kerajaan Negeri dengan jumlah 5% dari gross product 2 kali setahun sebagaimana perjanjian dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, tapi hak Terengganu ini telah diambil oleh MOF. Kemudian MOF mengenakan pelbagai syarat untuk kita dapatkan semula duit ini. 

Rumusannya, samada istilah Royalti atau Wang Ehsan atau Wang Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan, kesimpulannya Terengganu memang berhak menerima sejumlah bayaran dari hasil petroleum yang diambil dari Perairan Terengganu. Bagi kami apa istilah yang digunakan itu tak penting. Tapi wang hak rakyat Terengganu wajib dibayar.

Kalau masih baru dalam politik, sebaiknya belajar dulu sebelum nak keluarkan kenyataan, kononnya bayaran royalti minyak sama sahaja dari dulu sampai sekarang!

Post a Comment

0 Comments