Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KEDAH - Kerajaan Persekutuan digesa bertindak lebih pantas dan menyeluruh dalam menangani kesan krisis global susulan pergolakan di Asia Barat yang kini memberi tekanan kepada ekonomi serta kos sara hidup rakyat.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan perlu membuat perancangan rapi dalam menentukan hala tuju negara sekiranya krisis global berkenaan berlarutan.
Menurut beliau, perkara utama perlu dilakukan ialah memastikan rakyat tidak berasa terbeban serta mempunyai cukup makanan untuk disediakan kepada keluarga masing-masing, walaupun dalam keadaan terkawal.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui negara sedang berdepan krisis dan ini membuktikan Malaysia kini berdepan cabaran besar yang memberi kesan meluas kepada pelbagai sektor.
“Kerajaan Persekutuan perlu memastikan rakyat mempunyai makanan di atas meja sebagaimana saya lakukan ketika kita berdepan COVID-19 beberapa tahun lalu.
“Ketika itu, kita memastikan rakyat tidak kebuluran dan bantuan disalurkan walaupun dalam keadaan agak tertutup, dan tindakan diambil bagi meringankan beban rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah di Port Padang Garam, di sini malam tadi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, pengalaman pentadbirannya ketika negara berdepan pandemik COVID-19 boleh dijadikan contoh dalam menangani kesan krisis global.
Katanya, konflik di Asia Barat ketika ini telah mencetuskan ketidaktentuan ekonomi dunia termasuk kenaikan harga minyak yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Soal yang berbangkit ialah apa yang boleh dilakukan kerajaan untuk memastikan krisis ini dapat ditangani dengan baik.
“Perkara ini perlu diuruskan secara baik kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat terutama yang berdepan tekanan kos sara hidup selain menjejaskan sektor perusahaan kecil dan sederhana, pertanian serta pelancongan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau tegaskan kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan sambil lewa dalam menangani krisis berkenaan, sebaliknya perlu bertindak secara menyeluruh dan berkesan.
“Saya fikir kerajaan harus memberikan pertimbangan yang jelas dan tegas dalam bergerak ke depan
khususnya ketika negara dirundung masalah akibat kesan ekonomi global, agar ia tidak menjadi bencana buruk kepada negara," katanya lagi.
Muhyiddin berkata, semua pihak harus menyedari situasi negara secara umum tidak baik dan Kerajaan Persekutuan berdepan cabaran besar apabila berlaku pergolakan di Asia Barat.
Tambah bekas Perdana Menteri itu lagi, konflik berkenaan menyebabkan berlaku krisis global yang membawa kepada kenaikan harga minyak serta kesan terhadap kehidupan rakyat negara ini.
"Saya pernah bersuara bahawa usaha menangani krisis seperti ini tidak boleh dilakukan sambil lewa atau bertindak atas masa tertentu kerana apabila kita berdepan krisis, kita perlu mengambil kira apa saja boleh berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan dalam melaksanakan inisiatif bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terkesan.
"Yang penting ialah kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta dibuat secara rapat serta saling membantu supaya situasi dialami negara dapat ditangani dan kesannya tidak terkena secara purata kepada rakyat, terutama mereka di luar bandar,” ujar beliau.

0 Comments