Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menitipkan pesanan kepada UMNO menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau menegaskan, pendirian PAS terbuka untuk berkawan, namun bersedia untuk berdepan jika dicabar.
“Kalau nak kawan marilah, nak lawan tunggu… PRU akan datang. Bahasa kita sama macam dulu, ‘nak kawan mai, nak lawan tunggu, kami pergi’. Itulah pesanan saya kepada UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan & Pelancaran Jentera pilihan raya PAS kawasan Alor Setar.
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu, UMNO pada ketika ini tidak mempunyai sebarang kerusi di Kedah, namun berterusan melancarkan kritikan terhadap Kerajaan Negeri.
“Sekarang UMNO tak ada apa-apa pun, tapi hari-hari ‘tibai’ kita. Kita tunggulah pimpinan tertinggi parti nak kata apa, kita pun kesian dekat mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, tindakan UMNO yang kerap mengkritik PN dilihat tidak selari dengan kekuatan sebenar parti itu di negeri ini.
Beliau jelaskan, daripada keseluruhan 51 kerusi di Kedah merangkumi 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 Parlimen, UMNO tidak memiliki satu pun kerusi ketika ini.
“UMNO bukan ada kerusi di Kedah. Kalau nak bagi kita bertambah kesian, janganlah berlagak dan kutuk orang hari-hari.
“UMNO tak ada apa-apa pun. Kalau UMNO hebat, kuat, kerusi banyak, tak apalah nak kritik kita. La (sekarang) isu nak minta tolong kita kot,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengimbas perjalanan PAS dan UMNO di Kedah yang pernah menjalinkan kerjasama politik.
“Orang kenal PAS sejak 2008, apabila parti ini mula dikenali selepas membentuk Kerajaan Negeri, namun berdepan kekalahan pada 2013 sebelum kembali bangkit.
“Pada 2018 kita menang semula separuh jalan, kedudukan 18-18, iaitu PAS 15 dan UMNO tiga. Masa itu mereka nak berkawan dengan kita, jadi kita duduk sekali lah,” katanya.
Sanusi mendakwa, sikap UMNO yang hanya cenderung bekerjasama ketika lemah, namun meninggalkan rakan apabila kembali kuat, perlu dijadikan pengajaran.
“UMNO boleh berkawan bila dia sikit, bila dia banyak dia akan tinggalkan kawan itu. Itu perangai UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PAS kini semakin diterima masyarakat bandar apabila persepsi lama terhadap parti itu semakin berubah, khususnya kalangan masyarakat bukan Melayu.
“Dulu, ceramah PAS diadakan di hujung-hujung pekan atau lokasi yang kurang ramai orang, orang di bandar tak kenal PAS, parti itu dilihat sebagai ‘parti tok lebai’. Hari ini, boleh tengok dalam mesyuarat agung PAS, ada wakil GERAKAN, orang Cina dan India,” katanya.
Sanusi berkata, perkembangan itu menunjukkan perubahan ketara dalam tahap penerimaan rakyat terhadap PAS, khususnya apabila masyarakat bandar semakin memahami pendekatan dan perjuangan sebenar parti itu.
“Mereka sudah kenal PAS dengan wajah sebenar. Dulu mereka kenal PAS dengan wajah yang dihodohkan kononnya PAS parti ekstrem, paksa orang bukan Islam memeluk Islam serta menimbulkan ketakutan tentang sistem hudud, sehingga orang takut pada PAS.
“Semua gambaran ini telah membentuk persepsi yang menjarakkan masyarakat bukan Islam daripada PAS sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, menjelang tahun 2026, persepsi tersebut dilihat semakin terhakis apabila masyarakat mula mengenali PAS berdasarkan realiti dan pengalaman pemerintahan, bukan lagi melalui gambaran yang dimanipulasi.
Perubahan ini sekali gus memperlihatkan wajah sebenar PAS yang lebih inklusif serta diterima oleh pelbagai kaum, selaras dengan perkembangan politik semasa negara.

0 Comments