Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Rakyat Kedah semakin matang dan tidak mudah terpedaya dengan janji-janji politik yang berulang kali gagal ditunaikan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengalaman politik sejak 2020 hingga kini membuka mata rakyat Kedah untuk menilai prestasi sebenar sesebuah kerajaan, termasuk di peringkat Persekutuan.
“Orang Kedah sudah cerdik dan celik. Sejak 2020, orang Kedah terbuka luas mata mereka dan lihat sendiri bagaimana kita mentadbir negeri tanpa bergantung kepada kerajaan Persekutuan walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan & Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Alor Setar, di sini.
Sanusi percaya rakyat turut mempersoalkan kredibiliti kepimpinan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menunaikan janji dalam pentadbiran negara.
“Sudah 25 tahun dia (Anwar) berjanji, bila diberi peluang memerintah, tak buat, janji tinggal janji. Tak kan lah jadi PM berjanji lagi. Selepas itu, kita nak percaya sekali lagi? Tak boleh bagi peluang dah kepada pemimpin seperti ini,” katanya.
Sanusi berkata, pertukaran kerajaan turut menyaksikan pelbagai adegan yang akhirnya menyingkap kebenaran.
“PRU 2022 peringkat Parlimen diadakan, kerajaan bertukar. Menang kepada orang yang banyak berjanji, namun ALLAH SWT nak tunjuk, siapa kuat berjanji dengan janji manis, bila diberi kuasa dia tak buat pun.
“Sekarang dia marah kita katanya tak baca dan tak ada otak, macam-macam dia kata sebab ungkit janji. Dia kata pernah jadi Timbalan Perdana Menteri dan Pemangku Perdana Menteri 18 tahun dalam kerajaan, selain Menteri Kewangan terbaik Asia.
“Bila dia buat janji tak kan kita tak percaya. Rupanya janji hanya manis di bibir. Sekarang kita cakap politik, nanti mereka marah pula MB Kedah kutuk PM. Ini politik, tak kan nak puji pula,” katanya.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu turut menyentuh keputusan Pilihan Raya Umum lalu yang menyaksikan perubahan Kerajaan Persekutuan, serta percanggahan prinsip apabila pihak yang sebelum ini mengkritik lawan akhirnya bekerjasama membentuk kerajaan.
“Kerajaan itu ditadbir bersama ‘rakan’, sebelum itu dia nyanyi kutuk UMNO hingga labelkan kleptokrasi. Akhirnya pada November 2022 keputusan PRU, dia kawan dengan UMNO. Pakat jadi kerajaan sekali, habis hilang kleptokrasi, hilang kes mahkamah 47 kes. Rakan dia pula jadi Timbalan Perdana Menteri. Macam mana nak percaya pada pemimpin seperti itu?” soal beliau.
Menurut Sanusi, Kedah turut berdepan tekanan selepas pembentukan kerajaan baharu, namun menegaskan pentadbiran negeri kekal kukuh.
“Selepas kita menang PRU dan terajui kerajaan tahun 2023, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail guna semua agensi ‘serang’ negeri kita. Kami tak lupa dan kami tak akan maafkan.
“PRU akan datang, kami akan bagi dia (Saifuddin) tumbang di mana pun dia bertanding, Padang Serai atau Kulim? kalau nak bertanding, kami akan lawan,” katanya.
Namun, tambah Sanusi, serangan bertubi-tubi terhadap Kedah dilihat gagal, sebaliknya pihak yang menyerang ‘kehilangan’ lebih banyak kerusi dalam PRU.
“Dia serang siang malam nak bagi kita tewas, akhirnya daripada mereka ada 14 kerusi tinggal tiga,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan PN Kedah bersedia menghadapi pilihan raya akan datang dengan penuh keyakinan.
“Ketika PN kembali ambil alih kerajaan. Prinsip kita jelas tidak berubah. Pendekatan kita berubah kerana kita masyarakat berbilang kaum (Melayu 70 peratus, China 22 peratus, India 7 peratus, lain-lain 1 peratus),” katanya.
Menteri Besar Kedah itu menegaskan antara kejayaan PN Kedah termasuk ketika berdepan pandemik COVID-19 yang membuktikan keupayaan Kerajaan Negeri mengurus krisis.
Katanya, Kerajaan Negeri membelanjakan RM33 juta bagi membantu rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), walaupun sumber kewangan negeri terhad.
“Kita belanja untuk selamatkan rakyat Kedah supaya ada makanan di atas meja walaupun tak boleh keluar bekerja. Pada ketika itu, Kerajaan Negeri dan Persekutuan sama (PN). Dalam pentadbiran kita tunjuk keupayaan yang jelas, rakyat dapat menilai,” katanya.

0 Comments