MASALAH AIR MENURUN: “ADA KATA SAYA BOHONG, SAYA RUJUK DATA” - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim  

ALOR SETAR - Purata akaun terjejas akibat gangguan bekalan air sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri menunjukkan trend lebih baik apabila menurun kepada 0.76 peratus berbanding 0.94 peratus pada tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penurunan itu membuktikan usaha Kerajaan Negeri menangani isu bekalan air mula menunjukkan hasil berdasarkan data semasa.

Menurutnya, penurunan itu mencerminkan peningkatan prestasi operasi pengurusan bekalan air negeri yang dinilai secara menyeluruh merangkumi fasa pra-perayaan, hari perayaan serta pasca-perayaan.

“Ada kata saya bohong sebab masalah air belum selesai. Berdasarkan rekod dari Syarikat Air Darul Aman (SADA), jumlah akaun terjejas menjelang Aidilfitri tahun lepas 0.94 peratus, tahun ini 0.76 peratus, lebih rendah berbanding tahun lalu. 

“Jadi saya kata, menjelang Hari Raya tahun ini, masalah air telah berkurangan dan sebahagiannya berjaya diatasi, ia berdasarkan kepada fakta itulah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan kononnya Kerajaan Negeri gagal menyelesaikan masalah air ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu. 

Menurut Sanusi, penilaian tersebut dibuat berdasarkan data daripada keseluruhan 640,000 akaun pengguna di negeri ini.

Penilaian itu melibatkan tempoh enam hari, iaitu tiga hari sebelum dan tiga hari selepas Aidilfitri bagi memberi gambaran lebih komprehensif terhadap trend gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan.

Pendekatan itu juga membolehkan tahap kecekapan pengendalian sistem bekalan air dinilai secara lebih tepat berdasarkan pola gangguan keseluruhan, sekali gus menunjukkan keberkesanan langkah penambahbaikan yang dilaksanakan.

“Penyelesaian isu bekalan air dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat kawasan tertentu yang masih berdepan masalah berikutan infrastruktur utama belum siap sepenuhnya.

“Ada tempat walau buat macam mana pun, masalah tak dapat diselesaikan kerana infrastruktur utama belum siap. Jadi rakyat perlu bersabar, insya-ALLAH ia akan diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sanusi memaklumkan, projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang dijangka menjadi penyelesaian utama khususnya bagi kawasan Kuala Kedah dan sekitarnya.

Menurutnya, penambahbaikan bukan hanya melibatkan pembinaan loji baharu, tetapi juga pemasangan paip utama bagi meningkatkan tekanan air yang kini rendah akibat terlalu banyak cabang daripada paip sedia ada.

“Tak semestinya siap loji baru ada air. Sekarang ada air lebihan, cuma perlahan sebab tekanan rendah. Setiap hari kami fikirkan cara untuk percepatkan.

“Saya minta projek paip disiapkan dahulu. Bila paip baharu siap, tekanan air akan lebih stabil dan bekalan air lebihan daripada loji sedia ada boleh disalurkan dengan lebih baik,” katanya.

Tambah beliau lagi, kos projek LRA Pelubang mencecah RM431 juta melalui pinjaman, namun jumlah itu masih tidak mencukupi dan dijangka memerlukan tambahan kepada lebih RM460 juta bagi membolehkan ia disiapkan sepenuhnya.

“Jadi kita mohon tambah sikit lagi (hutang). Kita usaha sungguh-sungguh nak bagi selesai tahun ini,” katanya.

LRA Pelubang mendapat kelulusan khas Kerajaan Persekutuan ketika itu melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Kewangan untuk dianugerahkan kepada Bina Darulaman Berhad (BDB) dengan pembiayaan pinjaman RM431 juta yang perlu dibayar balik oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, beliau mengakui faktor cuaca panas dan kemarau turut memberi kesan kepada bekalan air apabila paras air di Tasik Gubir kini hanya sekitar tujuh peratus.

“Itu faktor luar kawalan kita. Saya minta rakyat berdoa dan melakukan solat sunat istisqa bagi memohon hujan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna yang masih berdepan masalah bekalan air supaya segera menghubungi SADA untuk tindakan lanjut.

Post a Comment

0 Comments