Kenyataan Media PAS Kedah
PAS Kedah menjunjung kasih di atas titah yang disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersempena pembukaan Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman kali ke-15 pagi tadi.
Segala nasihat, teguran serta pandangan yang disampaikan amat bermakna untuk Kerajaan Negeri khususnya dan rakyat Negeri Kedah amnya bagi memastikan visi serta misi The Greater Kedah berjaya direalisasi di samping menjadikan Kedah sebuah Negeri, orang miskin berteduh dan orang kaya menumpang bakti.
PAS Kedah mendukung sepenuhnya aspirasi Tuanku Sultan supaya memastikan wacana federalisme terus diangkat sepenuhnya dalam negara. Tunjang federalisme fiskal yang dibangkitkan dalam Titah Tuanku Sultan wajar dibahas sebagai teras utama bagi mengembalikan hak kepada negeri yang telah berkorban demi kepentingan negara amnya.
Pengorbanan Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi dengan pengekalan 119 ribu hektar kawasan penanaman padi serta pemeliharaan 160 ribu hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda memerlukan imbalan fiskal yang berpatutan. Ini kerana Kedah kehilangan hasil besar daripada pengorbanan ini sejak sekian lama.
Kedudukan hasil fiskal Negeri masih berada di bawah RM1 bilion sedangkan Kedah merupakan Negeri Jelapang Padi yang menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jaminan keselamatan makanan negara.
Malah, jika diperhatikan dalam neraca yang lebih luas, 'negeri-negeri pengeluar' termasuklah dalam konteks minyak dan gas asli di sebelah Pantai Timur dan Borneo merupakan negeri-negeri yang termasuk dalam kategori negeri miskin.
Oleh sebab itu, PAS Kedah turut berpandangan bahawa wacana federalisme ini tidak wajar dikesampingkan dalam kita menuju status negara maju pada masa akan datang. Kepentingan-kepentingan negeri khususnya melibatkan pengukuhan fiskal harus digembleng dan diperhalusi secara mendalam bagi memastikan hak negeri sentiasa terpelihara.
PAS Kedah juga ingin mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh anggota Ahli Dewan Undangan Negeri yang akan mula berbahas mulai esok hari. Jadikan perbahasan ini sebagai suatu medan yang konstruktif dalam membimbing kesejahteraan rakyat dan negeri ini, insya-Allah.
Selamat Bersidang,
Dato’ Ahmad bin Yahaya
Pesuruhjaya PAS Kedah
13 April 2026

0 Comments