Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengambil pendekatan berhati-hati dalam pelaksanaan projek pembinaan asrama baharu di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) susulan kenaikan harga minyak yang boleh menjejaskan kos dan kelancaran projek.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek yang bakal menempatkan kira-kira 2,450 pelajar baharu itu kini berada pada peringkat penilaian semula selepas proses tender ditutup.
Menurut beliau, situasi semasa memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk meneliti semula kos projek bagi mengelakkan risiko kegagalan kontraktor menyiapkan kerja akibat peningkatan harga bahan.
“Di UniSHAMS, kita merancang membina asrama untuk menampung 2,450 pelajar baharu. Namun selepas tender ditutup, berlaku kenaikan harga minyak.
“Oleh itu, masih ada ruang untuk kita nilai semula kerana kita tidak mahu projek ini berdepan masalah seperti yang berlaku sebelum ini akibat kenaikan harga minyak. Ini antara pertimbangan kita,” katanya.
Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak mahu pengalaman projek Loji Rawatan Air (LRA) yang terjejas teruk ketika pandemik COVID-19 berulang, sehingga menyebabkan kos meningkat mendadak dan tempoh siap tertangguh.
“Jangan kita mula projek asrama UniSHAMS esok, kemudian kontraktor terpaksa tarik diri kerana harga minyak naik, dan dia tidak mampu menanggung kos. Daripada tanggung rugi nanti dia cabut lari.
“Dalam kes LRA dahulu, apabila tender ditutup, datang COVID-19. Harga bahan seperti besi meningkat sehingga empat kali kerana gangguan pengeluaran, kilang tutup. Barang yang ada, semua melambung harga.
“Projek terpaksa diteruskan kerana keperluan mendesak, tetapi akhirnya bila projek berjalan, sangkut dan berlaku kelewatan dengan lanjutan masa (EOT) dan perubahan harga (VOP) berkali-kali,” katanya.
Sanusi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS berkata, situasi tersebut menyebabkan projek menjadi lebih lama untuk disiapkan selain peningkatan kos yang berterusan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memastikan projek yang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual tanpa membebankan semua pihak.
“Kita berdepan pelbagai cabaran ketika ini, sama ada di peringkat Kerajaan Negeri, pegawai, EXCO mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Namun yang penting, kita tidak mahu projek dimulakan dalam keadaan berisiko tinggi sehingga akhirnya menjejaskan pelaksanaan,” katanya.
Sebelum ini, Sanusi memaklumkan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan dengan anggaran kos RM60 juta untuk pembinaan asrama tersebut.
Jelasnya lagi, tempoh penyediaan asrama UniSHAMS terbabit dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun selepas projek itu bermula.

0 Comments