Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Pengerusi Lajnah Ekonomi & Keusahawan PAS
Dunia hari ini tidak lagi bergerak dalam keadaan normal. Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran bukan sekadar konflik geopolitik. Ia adalah ancaman langsung kepada kestabilan ekonomi global. Laluan kritikal seperti Selat Hormuz yang menjadi nadi penghantaran 20 peratus minyak dunia kini berada dalam risiko tinggi. Dan apabila nadi ini terganggu, seluruh dunia akan merasainya termasuk negara-negara ASEAN.
1. Realiti Yang Perlu Dihadapi: Negara-negara ASEAN tidak bersedia secara sekata
Data semasa menunjukkan jurang kesiapsiagaan yang membimbangkan. Perbezaan amat ketara di antara dua kuasa ekonomi Asia dan dunia iaitu Jepun dan Cina di samping negara-negara ASEAN.
Bermula dari pertengahan April 2026, simpanan minyak Jepun boleh bertahan selama 254 hari, China 115 hari, Thailand 91 hari, Filipina 55 hari dan Malaysia sekitar 45 hari. Sementara itu, Singapura walaupun tidak mengumumkan angka rasmi adalah diketahui mempunyai simpanan strategik yang kukuh, mampu bertahan untuk tempoh berbulan-bulan lamanya.
Info di atas bukan sekadar angka. Ini adalah gambaran tahap ketahanan sesebuah negara menghadapi krisis.
1. Mengapa Malaysia Ketinggalan? Persoalan yang tidak boleh dielak.
Persoalan besar timbul ialah mengapa Malaysia berada di belakang negara seperti Singapura, Thailand dan Filipina?
Beberapa faktor yang perlu dinilai secara jujur dan membawa Malaysia terdedah kepada risiko ialah:
Ketiadaan simpanan strategik berskala besar (Strategic Petroleum Reserve) seperti Jepun dan China.
Kebergantungan tinggi kepada rantaian import dan pemprosesan.
Pengurusan dasar tenaga yang lebih bersifat jangka pendek berbanding pendekatan strategik jangka panjang.
Kurangnya diversifikasi sumber bekalan luar dari negara Timur Tengah.
Hakikatnya, walaupun Malaysia menjadi pengeluar, ia tidak bermakna Malaysia kebal. Tanpa perancangan simpanan yang kukuh, negara tetap terdedah kepada krisus yang boleh meruntuhkan ekonomi.
1. Naratif Kepimpinan: Antara realiti dan keyakinan.
Kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi baru-baru ini bahawa Malaysia mungkin menghadapi tekanan serius selepas Mei 2026 perlu dilihat dari dua sudut:
i) Sudut kejujuran dasar: rakyat berhak tahu realiti sebenar.
ii) Sudut komunikasi strategik: keyakinan pasaran dan pelabur tidak boleh digugat.
Dalam dunia pelaburan, persepsi adalah realiti. Apabila naratif yang dibina menggambarkan ketidaksediaan maka ada kemungkin pelabur akan mula beralih. Mereka mencari negara yang bukan sahaja stabil hari ini, tetapi juga mampu bertahan ketika krisis.
1. Kesan Kepada Pelaburan: Isyarat yang tidak boleh dipandang ringan.
Kestabilan bekalan tenaga adalah antara faktor utama dalam keputusan pelaburan global.
Syarikat multinasional yang beroperasi dalam sektor strategik seperti semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi dan logistik tidak akan bertolak ansur dengan risiko gangguan tenaga.
Jika Malaysia dilihat sebagai:
i) Tidak mempunyai simpanan mencukupi.
ii) Tidak mempunyai pelan mitigasi krisis yang jelas.
iii) Tidak menunjukkan keupayaan respon pantas.
Maka negara akan kehilangan daya saing berbanding jiran serantau.
1. Apa Yang Perlu Dilakukan: Dari reaktif kepada strategik.
Krisis ini harus menjadi titik perubahan. Malaysia tidak boleh lagi bergerak secara reaktif. Langkah strategik yang mesti dipertimbangkan segera:
i) Mewujudkan atau memperkasa Strategic Petroleum Reserve (SPR) berskala nasional sekurang-kurangnya 90 - 120 hari atau lebih.
ii). Memperluas sumber import minyak dari rantau selain Timur Tengah seperti dari negara Afrika dan Amerika Latin.
iii). Memperkukuh kapasiti penapisan domestik bagi mengurangkan kebergantungan luar.
iv). Mempercepat peralihan kepada tenaga alternatif sebagai strategi jangka panjang.
v). Menyusun semula komunikasi krisis nasional iaitu jujur, tetapi membina keyakinan.
Krisis ini adalah ujian kepimpinan juga. Ia bukan sekadar isu ekonomi. Ia adalah ujian kepada kebijaksanaan dasar, keberanian kepimpinan dan ketajaman strategi negara.
Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam krisis global. Kita mesti menjadi negara yang bersedia, berdaya tahan dan diyakini.
Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ini, negara yang paling kuat bukanlah yang mampu bertahan tetapi yang paling bersedia.

0 Comments