Oleh: Roslinda Hashim
MERBOK - Isu pajakan Pulau Pinang tidak pernah dianggap selesai selagi kepimpinan negeri sedia ada mentadbir negeri ini bagi mempertahankan hak Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri pimpinan PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan terus membangkitkan, mengkaji serta menilai semula sejarah Kedah-Pulau Pinang sehingga penyelesaian muktamad dicapai.
“Selagi kami ada di sini, kami anggap isu ini tidak pernah selesai. Kita akan bongkarkan semua dokumen, bahan sejarah dan kajian berkaitan untuk dinilai serta dibawa ke muka pengadilan. Di situ lah penyelesaian boleh dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Merbok di sini.
Menurutnya, Kedah tidak akan menerima sebarang ketetapan lampau yang merugikan negeri itu tanpa penelitian semula berasaskan fakta sejarah dan perundangan.
“Kalau nak suruh kami terima apa saja yang merugikan Kedah pada masa dahulu, minta maaf, kami akan terus pertahan hak negeri ini,” katanya.
Sanusi tegaskan, perjuangan tersebut bukan bersifat peribadi, sebaliknya demi memastikan generasi akan datang memahami bahawa Pulau Pinang dan Seberang Perai pernah menjadi sebahagian daripada wilayah Kedah.
“Kita mahu anak cucu rakyat Kedah faham sejarah sebenar. Ini perjuangan besar yang melangkaui persepsi semasa dan naratif yang cuba dibentuk pihak tertentu,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan sikap pihak tertentu termasuk UMNO yang didakwa tidak pernah membangkitkan isu tersebut sebelum ini, malah kini dilihat memperlekeh usaha Kerajaan Negeri.
“Kenapa dulu tidak dibangkitkan? Selama 60 tahun memerintah, kalau dibangkitkan di peringkat negeri, Perdana Menteri tak suka maka MB itu ditukar. Isu apa pun jika tak senada dengan PM, dikenakan tindakan, maka tak berani sebut.
“Tak ada pemimpin berani bersuara tentang hal ini.-Bila kita bangkitkan, mereka main-mainkan kita dan tuduh macam-macam. Biarkan kami buat, sokong pelan-pelan kalau rasa malu dan takut bersuara.
Jangan ejek, jangan permainkan usaha kami,” katanya.
Tambah Sanusi, keberanian untuk membangkitkan isu berkenaan penting dalam membina jati diri bangsa yang memahami asal-usul serta sejarah tanah air.
“Bangsa yang hebat ialah bangsa yang tahu susur galur dan perjuangan nenek moyang. Kita tidak boleh biarkan sejarah ini dilupakan,” katanya.
Beliau tegaskan, pihaknya akan terus mempertahankan perjuangan tersebut walaupun berdepan kritikan mahupun tohmahan pelbagai pihak.
“Bila kita bercakap secara terang-terangan, meraka dakwa kita bermain sentimen perkauman sempit.
Namun selaku pemimpin, wajar untuk saya bangkitkan semula kehebatan Kedah, kita perlu berani dan ada kesungguhan.
“Selagi kita ada di sini, jentera PAS bersedia bergolok bergadai demi pertahankan perjuangan negeri ini. Perlu ada pengetahuan sejarah lalu dan apa yang mahu dikembalikan di negeri ini,” katanya.
Tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang ini adalah susulan titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah supaya isu pajakan Pulau Pinang diperjelaskan secara telus.
Pada 2021, Kedah menuntut bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati nilai pajakan tersebut tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Kerajaan Negeri Kedah kini sedang memuktamadkan dokumen undang-undang berkaitan tuntutan terhadap Pulau Pinang sebelum menentukan pendekatan terbaik sama ada melalui mahkamah, Majlis Raja-Raja atau rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Pembentangan akhir mengenai tuntutan isu pajakan Pulau Pinang telah dibuat oleh barisan peguam yang dilantik, beberapa dokumen penting masih dalam proses penyediaan untuk tindakan selanjutnya.

0 Comments