KERAJAAN DIGESA BANTU PESAWAH TANGANI KOS OPERASI

 


Amal Nabila Abdul Khadi

JERLUN – Kerajaan Persekutuan diminta tampil dengan tindakan lebih tegas bagi membantu pesawah yang kini berdepan tekanan akibat masalah bekalan air serta peningkatan kos operasi pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, satu surat rasmi telah dikemukakan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi memohon campur tangan segera terhadap isu yang membelenggu golongan pesawah terutama di Kedah.

Menurut beliau, keadaan semasa tidak boleh dipandang sebagai isu biasa kerana ramai pesawah menanggung kerugian berulang susulan cuaca tidak menentu, masalah pengairan dan dasar sedia ada yang masih belum benar-benar memihak kepada pengeluar tempatan.

“Antara perkara dibangkitkan ialah cadangan penggunaan kaedah Tabur Terus Kering (TTK) sekiranya masalah air berterusan pada musim akan datang.

“Kaedah ini bukan mudah kerana melibatkan kos lebih tinggi, termasuk penyediaan sawah, benih, racun serta risiko serangan perosak dan padi angin.

“Jangan biarkan pesawah menanggung beban ini seorang diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sekiranya kaedah itu mahu dilaksanakan, kerajaan perlu menyediakan pembiayaan penuh bermula daripada kerja penyediaan tanah sehingga proses menuai.

Selain itu katanya, moratorium bayaran balik juga perlu diberikan sehingga pesawah memperoleh hasil yang stabil dan munasabah.

Mohd Ashraf turut menegaskan keperluan kerajaan menyemak semula dasar import beras yang didakwa memberi tekanan kepada pasaran tempatan.

“Permit import beras perlu dikawal dengan lebih ketat supaya pengeluaran domestik dapat diperkasa.

“Dalam masa sama, harga beras tempatan juga wajar dinilai semula sekitar RM40 hingga RM50 bagi setiap 10 kilogram.

“Harga lantai padi pula dicadang dinaikkan kepada antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi setiap tan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diwujudkan semula sebagai badan berkanun yang berperanan mengawal selia industri padi dan beras secara lebih adil.

“Pesawah merupakan benteng utama keterjaminan makanan negara.

“Jika kerajaan benar-benar serius mahu memastikan bekalan beras negara terjamin, maka pesawah perlu dibela dengan dasar yang adil dan tindakan yang nyata,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments