“SEKTOR PELANCONGAN MEWAH KEMBALI RANCAK JIKA STATUS BEBAS CUKAI PENUH DIKEMBALIKAN” - SANUSI


Oleh: Roslinda Hashim 

LANGKAWI - Cadangan mengembalikan status bebas cukai sepenuhnya Pulau Langkawi diyakini mampu merancakkan semula ekonomi tempatan, khususnya sektor pelancongan mewah yang sebelum ini menjadi penyumbang besar kepada negeri dan negara.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, suatu ketika dahulu lebih 2,000 kereta super mewah dimiliki individu berkemampuan dari seluruh dunia disimpan di pulau itu, sekali gus mewujudkan rantaian ekonomi yang luas.

Menurut beliau, pemilik kenderaan tersebut akan datang secara berkala ke Langkawi untuk menggunakan kereta masing-masing, sekali gus merancakkan pelbagai sektor termasuk kewujudan bilik pameran, pusat jualan, gudang simpanan, garaj eksklusif serta pusat servis kenderaan mewah.

“Mereka datang dan berbelanja besar. Pengusaha kereta mewah maklum pada saya, setahun jualan kereta ini sekitar 250 unit dan setiap kali datang ke Langkawi, mereka berbelanja sehingga RM400,000 seorangi, ia menyumbang kepada ekonomi setempat dan kutipan hasil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Lantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) Daerah Langkawi sesi 2026-2028, melibatkan 118 penerima.

Sanusi berkata, penarikan balik status bebas cukai bagi kereta mewah antara punca kemerosotan sektor tersebut, apabila hanya kenderaan bernilai bawah RM300,000 kini diberikan keistimewaan itu.

“Apabila kemudahan itu ditarik balik, kita kehilangan satu segmen pelancong berbelanja tinggi yang sangat besar,” ujarnya.

Tambah beliau, antara alasan penarikan keistimewaan itu adalah kegagalan pemilik membawa semula kenderaan ke Langkawi selepas dibawa ke tanah besar, namun perkara itu boleh ditangani melalui penguatkuasaan lebih ketat seperti pelaksanaan bon jaminan lebih tinggi.

“Ada undang-undang bagi kereta yang hendak dibawa keluar dari pulau, saya percaya pihak Kastam boleh kendalikan hal ini. Mungkin boleh kenakan tindakan lebih tegas, jika keluarkan kenderaan dan tidak masuk semula, kenakan denda. Penguatkuasaan perlu diperkemas, bukan tarik keistimewaan bebas cukai itu,” katanya.

Menurutnya, industri kereta mewah bukan sahaja menjana pendapatan langsung, malah mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyokong sektor lain termasuk hartanah melalui program Malaysia My Second Home (MM2H).

Sanusi berkata, Langkawi mempunyai pelbagai tarikan pelancongan termasuk keindahan alam sekitar dan aktiviti membeli-belah, namun sektor kereta bebas cukai merupakan antara penyumbang perbelanjaan yang tinggi.

“Saya dimaklumkan cukai untuk bawa keluar dan masuk semula ke Langkawi cecah RM150 juta setahun.  Sektor industri kereta mewah ini akan kembali cergas jika pembeli dapat menikmati status bebas cukai itu.

“Apabila segmen ini disekat, kita kehilangan sumber pendapatan besar kepada ekonomi Langkawi dan negara.   Sektor ini baik untuk dikembangan sebagai industri pelancongan di Langkawi,” katanya.

Beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan selaras dengan titah Sultan Kedah agar senarai barangan bebas cukai diperluaskan bagi mengembalikan kegemilangan Langkawi sebagai destinasi utama pelancongan.

Tambah beliau lagi, sektor pelancongan mewah seperti hotel lima hingga tujuh bintang kekal cergas di Langkawi sehingga kini, namun segmen lain seperti hotel bajet, homestay dan penginapan backpackers sedikit terjejas, antaranya disebabkan perkhidmatan feri yang terhad.

Pada 13 April, ketika Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Sultan Kedah,  Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status pulau bebas cukai sepenuhnya kepada Langkawi bagi merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Baginda bertitah, meskipun status pulau bebas cukai masih dikekalkan, beberapa keistimewaan sebelum ini telah dikurangkan termasuk pelaksanaan cukai terhadap kenderaan dan barangan tertentu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih atas titah tersebut dan memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersedia meneliti langkah terbaik, termasuk mengarahkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjalankan kajian menyeluruh bagi menjana semula ekonomi pulau berkenaan.

Post a Comment

0 Comments