“SEKALI SAYA JAWAB, KOYAK TERUK” - SANUSI TEMPELAK PEMIMPIN UMNO

 

Oleh: Roslinda Hashim 

MERBOK - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau hanya membangkitkan fakta apabila menyatakan UMNO tidak mempunyai sebarang kerusi di negeri ini sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

Menurut beliau, kenyataan tersebut bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pemimpin UMNO yang mendakwa dirinya memperlekehkan parti berkenaan.

Sanusi sebaliknya, tegaskan kenyataan itu sebagai fakta yang tidak boleh disangkal.

“Ada pemimpin UMNO marah saya bila saya sebut UMNO tak ada kerusi. Saya cakap fakta, memang UMNO tak ada kerusi di Kedah, DUN atau Parlimen. Takkan saya nak kata ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Merbok di sini.

Sanusi turut menepis dakwaan bahawa beliau gemar memperlekehkan parti lawan, sebaliknya menegaskan situasi tanpa kerusi itu sendiri mencerminkan kelemahan parti tersebut.

“Dia kata saya memperlekehkan orang sebab tak ada kerusi. Tak ada kerusi memanglah lekeh. Kalau tak ada kerusi dianggap hebat, teruklah,” ujarnya.

Dalam nada sinis, beliau berkata, kritikan berterusan terhadap dirinya oleh pihak lawan hanya dibalas sekali-sekala, namun dilihat memberi kesan besar.

“Mereka mengata saya, saya senyum saja, tak ada marah pun. Tapi sekali-sekala bila ada peluang saya jawab. Mereka ulang hari-hari, kita setahun dua tahun baru jawab sekali.

“Saya tak pernah sentuh UMNO lama, tak pernah kata pada UMNO sebelum ini, malam kelmarin baru saya cakap sikit, koyak teruk,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas peranan UMNO sebagai pembangkang di Kedah, Sanusi berpandangan tindakan parti itu bukan sekadar menegur kerajaan, sebaliknya lebih kepada serangan peribadi.

“Mereka kata UMNO nak tegur Kerajaan Negeri, saya rasa itu bukan teguran, mereka hentam ‘keromo’, sasaran dia Sanusi,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan dilemparkan pemimpin UMNO tersebut kononnya dirinya menjadi punca kemerosotan bola sepak Kedah, sambil menjelaskan struktur pengurusan pasukan.

“Mereka tuduh saya perosak bola sepak Kedah. Tak ada kaitan, saya Presiden KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah), tetapi KDA FC adalah milik syarikat swasta. Kedah FA pula antara di kelompok teratas liga, macam mana kata saya perosak bola sepak Kedah,” soalnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu turut menyelar kredibiliti seorang pemimpin UMNO yang dilihat sering menghentam dirinya tanpa fakta sahih.

“Mereka ulang hari-hari buat podcast dan ceramah, buat macam-macam. Saya ada tertengok tapi tak ada kualiti. Dia cakap tak henti-henti, bagi saya itu bukan mengkritik kerajaan, dia hentam, perlekeh dan tuduhan,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh prestasi pemimpin berkenaan yang didakwa tewas dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

“Dia kalah dua kali, kalah DUN lebih banyak daripada Parlimen. Ini pun jadi sejarah. Biasanya tanding Parlimen kalah lebih besar, tanding DUN kalah sedikit sebab pengundi kecil,” katanya.

Sanusi turut menyindir hasrat pemimpin tersebut yang dipercayai mahu UMNO bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang.

“Kalau dia nak tanding lagi di Merbok, kita ‘renyak’ bagi. Itu pun ada hati nak ‘go solo’ nak bertanding solo,” katanya.

Post a Comment

0 Comments