DOA DAN SOLIDARITI BUAT MISI SUMUD FLOTILLA 2.0

 

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

7 APRIL 2026 | 18 SYAWAL 1447H

Oleh: Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ahli Parlimen Alor Setar

Pemuda PAS Malaysia menzahirkan doa serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh peserta misi Sumud Flotilla 2.0, agar setiap perjalanan mereka dipermudahkan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dari detik keberangkatan hingga selamat kembali ke tanah air.

Misi ini bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, bahkan mengangkat suara hati rakyat Malaysia serta solidariti umat Islam seluruh dunia satu mesej jelas bahawa saudara-saudara kita di Palestin tidak pernah dibiarkan bersendirian walaupun terus berdepan dengan kezaliman yang berpanjangan.

Pengalaman Sumud Flotilla 1.0 yang lalu telah membuka mata dunia terhadap tindakan zalim rejim Israel, termasuk penahanan 23 rakyat Malaysia. Namun, tekanan dan ancaman tersebut sama sekali tidak mematahkan semangat juang para peserta untuk terus bangkit meneruskan misi kemanusiaan ini. Perjuangan ini akan terus digerakkan selagi bumi Gaza dan Palestin belum bebas sepenuhnya daripada cengkaman penjajahan.

Gaza bukan sekadar isu politik, perbezaan pandangan atau bangsa. Ia merupakan isu umat, kemanusiaan sejagat, dan keadilan yang menuntut kita semua untuk bersatu. Ketepikan perbezaan, tinggalkan sentimen yang memecah-belahkan, dan bersatu sebagai insan yang mentaati perintah-Nya.

Maka atas dasar dan prinsip  inilah, Pemuda PAS Malaysia sentiasa istiqamah berdiri teguh bersama dalam misi Sumud Flotilla ini.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia terus mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, keselamatan dan ketabahan kepada semua peserta dalam menyempurnakan amanah besar ini.

#PemudaPAS #TerusMemimpin

Post a Comment

0 Comments