MELAYU PERLU AMBIL PERANAN PIMPIN DUNIA ISLAM, MULAKAN DENGAN PENYATUAN - ABDUL HADI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA NERUS - Orang Melayu diseru kembali kepada ajaran Islam sebagai asas perpaduan bagi membina kekuatan ummah, sekali gus berperanan memimpin dunia Islam pada masa hadapan.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kegagalan sebahagian dunia Arab menyatukan umat Islam membuka ruang kepada orang Melayu untuk mengambil peranan tersebut dengan memperkukuh kesatuan berlandaskan akidah dan tauhid.

Menurutnya, umat Islam pernah dipimpin oleh bangsa lain seperti Kurdish dan Turki, tidak mustahil giliran orang Melayu yang berjumlah lebih 300 juta di Nusantara berupaya menjayakannya.

“Orang Islam perlu kembali kepada perpaduan Islam. Orang Arab gagal menyatukan sesama mereka, 

insyaALLAH kita orang Melayu ambil giliran ini. 

“ALLAH SWT menjanjikan mana-mana kaum yang menegakkan Islam, akan memimpin manusia. Kalau ada giliran orang Kurdish dan Turki, tak kan tak ada giliran orang Melayu.

“Kita perlu satukan orang Melayu apalagi orang Melayu sangat rapat dengan Islam, umpama Melayu untuk Islam dan Islam untuk Melayu. Gunakan perasaan ini untuk orang Melayu dengan Islam disatukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, pada Sabtu.

Menurut Abdul Hadi, hubungan rapat antara Melayu dan Islam perlu dimanfaatkan untuk menyatukan masyarakat, dengan Islam dijadikan penyelesaian kepada pelbagai masalah termasuk perpaduan dan kemajuan.

“Perpaduan hanya boleh dicapai dengan kembali kepada Islam, bermula dengan menegakkan tauhid dan melaksanakan ajaran-Nya dalam kehidupan,” katanya.

Beliau tegaskan, pendekatan menguasai negeri-negeri majoriti Melayu merupakan antara strategi bagi membuktikan keupayaan Islam sebagai sistem yang adil dan menyeluruh.

“Kita tunjukkan Islam sebagai satu penyelesaian yang dapat selesaikan masalah umat dan Melayu. Bererti kembali kepada Islam, itu caranya,” katanya. 

Tambah beliau, usaha ke arah penyatuan walaupun kecil, mampu menyuburkan semangat perpaduan kalangan orang Melayu, selain memberi keyakinan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam menjamin keadilan untuk semua.

“Islam adalah penyelamat, bukan ancaman. Ini adalah slogan yang sangat penting untuk kita tonjolkan kepada orang Melayu termasuk di Nusantara. 

“Islam tidak menindas atau merampas hak, sebaliknya membawa keadilan kepada seluruh manusia. Kita akan dapat menubuhkan satu rumpun Melayu yang bersatu, yang jadi kekuatan ummah yang dapat memimpin Islam sekali lagi,” katanya.

Abdul Hadi berkata, umat Melayu yang dianggarkan melebihi 300 juta di Nusantara berpotensi menjadi kekuatan besar, namun kini lemah akibat penyakit cintakan dunia dan melupakan akhirat.

“Islam tidak memisahkan kehidupan dunia dan akhirat, sebaliknya mengimbangi kedua-duanya melalui tuntutan ilmu fardu ain dan fardu kifayah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada penguasaan pelbagai bidang ilmu, termasuk politik, ekonomi dan ketenteraan, tanpa menzalimi manusia.

“Semua ilmu bermanfaat di dunia diambil oleh orang Islam dan disatukan, terciptalah Tamadun Islam. 

“Apabila Islam diamalkan sepenuhnya, ia diterima sebagai penyelamat, bukan penjajah kerana Islam tidak rompak harta rakyat, tidak tindas rakyat atau bukan Islam, sehingga ramai bukan Islam memeluk agama itu atau rela berada di bawah pemerintahan Islam,” ujarnya.

Namun katanya, kelemahan umat Islam hari ini berpunca daripada sikap lalai dan terlalu mengejar kebendaan serta pangkat, sedangkan kedua-duanya hanyalah amanah dan alat dalam kehidupan.

“Nyanyuk dalam Islam ialah kelekaan kepada kebendaan dan pangkat. Islam anggap pangkat itu amanah dan penting tetapi bukan keperluan. Harta juga penting sebagai alat untuk hidup, ini ajaran Islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tegaskan, walaupun Islam melalui pelbagai fasa, agama itu tetap terpelihara dan akan kembali bangkit apabila manusia menyedari kegagalan ideologi lain.

“Islam bermula dalam keadaan dagang dan di akhir zaman menjadi dagang semula dan kemenangan akhirnya bagi yang dagang. Dagang Islam ialah apabila Nabi membawa Islam kepada mereka yang menentang Islam (orang Arab Mekah) akhirnya menang dan memeluk Islam.

“Islam berkembang pesat di pelusuk dunia, dan di akhir zaman, akan jadi dagang semula di tengah-tengah orang Islam. 

“Apabila umat Islam kembali kepada ajaran Islam dan bersatu, mereka akan menjadi kuat dan mampu memimpin semula dunia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, perpaduan perlu dibina berdasarkan perkara asas yang disepakati seperti akidah dan hukum Islam, manakala perbezaan boleh diraikan selagi tidak melanggar syariat.

“Dalam kehidupan manusia ada perkara yang sama, fitrah naluri manusia dan halal haram itu sama. Yang ini kita wajib bersatu. Perkara yang berbeza antara manusia seperti pemikiran dan adab diharuskan.

“Perkara yang diharamkan bersatu seperti menegakkan yang haram atau menegakkan kezaliman, ini tak boleh.

“Perpaduan yang wajib mesti didahulukan, manakala perbezaan yang dibenarkan perlu diurus dengan bijaksana tanpa menjejaskan kesatuan umat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments